JENAYAH & MAHKAMAH

Kes rasuah Guan Eng: Pendakwaan mohon pinda pertuduhan di peringkat akhir bicara

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini memohon untuk meminda salah satu pertuduhan rasuah yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng walaupun kes berkenaan kini berada di peringkat akhir perbicaraan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pindaan itu melibatkan penggunaan perkataan ‘menerima’ dalam pertuduhan, bagi memastikan ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut beliau, pindaan tersebut tidak menjejaskan asas pertuduhan memandangkan jumlah suapan sebanyak RM3.3 juta kekal, selain pendirian pihak pembelaan yang terus menafikan menerima suapan terbabit.

Bagaimanapun, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng membantah permohonan itu dengan alasan ia dibuat pada tahap akhir perbicaraan dan boleh memprejudiskan pembelaan.

Beliau berhujah, pengguguran perkataan ‘menerima’ menimbulkan persoalan terhadap relevansi keseluruhan pembelaan yang telah dibina selama ini, termasuk isu keraguan terhadap elemen penerimaan yang menjadi asas hujahan mereka.

“Sekiranya ia dikeluarkan sekarang tanpa penjelasan, tambahan pula selepas enam tahun perbicaraan berjalan, ia jelas memprejudiskan pihak pembelaan,” katanya dalam prosiding hari ini.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Azura Alwi menetapkan permohonan pindaan itu akan didengar dan diputuskan esok.

Prosiding kemudian diteruskan dengan sesi soal balas oleh pihak pembelaan terhadap saksi pendakwaan ke-37, ahli perniagaan G. Gnanaraja.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk menerima suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan projek sama sebagai balasan membantu pelantikan syarikat tersebut, yang didakwa berlaku di sebuah hotel di Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu turut berdepan dua lagi pertuduhan berkaitan pelupusan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta kepada sebuah syarikat pemaju bagi projek terowong dasar laut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Bangunan Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button