JENAYAH & MAHKAMAH

Datuk Seri Vida gagal ketepi penghakiman ingkar RM15.5 juta

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik terkenal, Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida gagal mengetepikan penghakiman ingkar berjumlah RM15.5 juta yang diperoleh oleh Maybank Islamic berhubung pinjaman yang tidak dijelaskan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Norsharidah Awang yang menolak permohonan Vida serta syarikatnya, Vida Beauty Sdn Bhd selepas mendapati mereka gagal menunjukkan pembelaan yang kukuh selain penghakiman tersebut diperoleh secara sah.

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM5,000 kepada pihak bank.

Menurut dokumen mahkamah, pertikaian itu berpunca daripada dua kemudahan pembiayaan Commodity Murabahah Term Financing-i berjumlah RM8.946 juta yang diberikan kepada Vida Beauty pada Oktober 2017 dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun.

Hasmiza juga menandatangani jaminan peribadi bagi kedua-dua kemudahan pembiayaan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak bank menamatkan kemudahan tersebut selepas defendan gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan sebelum menuntut pembayaran penuh harga jualan bank termasuk keuntungan serta caj bayaran lewat.

Pada 6 Januari 2023, mahkamah memasukkan penghakiman ingkar terhadap defendan berjumlah RM15,520,708.91 selepas mereka gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab tuntutan tersebut.

Pada Disember tahun sama, defendan memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman itu serta memohon lanjutan masa bagi memfailkan pembelaan.

Mereka berhujah bahawa writ saman dan penyata tuntutan tidak diserahkan dengan sempurna selain mendakwa mempunyai pembelaan yang munasabah.

Vida juga berhujah bahawa tuntutan bank dibuat terlalu awal dan jumlah yang dituntut merangkumi keuntungan yang belum diperoleh serta isu berkaitan rebat (ibra’).

Bagaimanapun, Norsharidah dalam alasan penghakimannya berkata, kelewatan kira-kira 11 bulan untuk memfailkan permohonan tersebut adalah tidak munasabah dan gagal dijelaskan dengan memuaskan.

Menurut beliau, walaupun mahkamah mempunyai budi bicara untuk melanjutkan tempoh masa, ia tidak diberikan secara automatik tanpa alasan kukuh.

Mahkamah turut mendapati writ saman telah diserahkan mengikut syarat dalam perjanjian pembiayaan dan jaminan yang membenarkan penyampaian melalui pos berdaftar prabayar ke alamat kontrak.

“Penerimaan sebenar tidak menjadi syarat sekiranya penyampaian dibuat mengikut terma kontrak yang dipersetujui serta peraturan mahkamah,” memetik NST online.

Beliau menambah, perjanjian pembiayaan itu dengan jelas memperuntukkan bahawa sekiranya berlaku kegagalan pembayaran, keseluruhan harga jualan bank perlu dibayar serta-merta.

Kes tersebut dikendalikan oleh peguam Wong Weng Yew bagi pihak Maybank Islamic manakala Haris Md Nor mewakili pihak defendan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button