BERITA SEMASA

Mahkamah tidak keluar arahan henti kerja roboh kuil – Peguam Yayasan Kubra

KUALA LUMPUR – Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff mendakwa Mahkamah Majistret Selayang tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan kerja-kerja merobohkan kuil di Rawang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurut beliau, perkara itu tidak pernah dinyatakan oleh Majistret, Chai Guan Hock ketika prosiding berkaitan aduan mengenai kuil di atas tanah milik Yayasan Kubra yang berlangsung pada 13 Mac lalu.

Beliau berkata, permohonan yang dikemukakan pihak kuil dibuat di bawah Seksyen 99(1) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan berhubung pertikaian mengenai harta tak alih dan potensi gangguan terhadap ketenteraman awam.

Katanya, peruntukan tersebut hanya memberi fokus kepada dua perkara utama iaitu pertikaian berhubung tanah serta kemungkinan wujud gangguan kepada ketenteraman awam dan tidak menyentuh isu hak milik berdaftar atau geran tanah.

“Permohonan itu difailkan di Mahkamah Jenayah dan bukannya di Mahkamah Sivil, maka ia tidak berkaitan dengan penentuan hak milik berdaftar Yayasan Kubra ke atas tanah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurutnya, beliau hadir di mahkamah seawal pukul 9 pagi bersama wakil Yayasan Kubra termasuk Ustaz Ismail Mina dan Ariff Omar, manakala prosiding bermula kira-kira pukul 11.30 pagi.

Tambah beliau, pihak Yayasan Kubra telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan tersebut melalui permohonan menentang secara sebelah pihak (opposed ex-parte) dengan dua hujah utama iaitu tiada pertikaian tanah dan tiada gangguan ketenteraman awam berlaku.

Namun katanya, mahkamah menolak permohonan tersebut dan prosiding aduan pihak kuil hanya didengar secara sebelah pihak (ex-parte) berdasarkan dokumen yang difailkan oleh pemohon.

“Mahkamah kemudiannya mengeluarkan perintah awalan selepas berpuas hati bahawa aduan tersebut melibatkan pertikaian mengenai harta tak alih di Rawang, Selangor serta terdapat sebuah kuil yang telah wujud di lokasi berkenaan sejak tahun 1995.

“Mahkamah juga mendapati pemilik berdaftar hanya memiliki tanah tersebut sekitar tahun 2021,” katanya.

Menurut beliau, mahkamah turut menyatakan pertikaian tersebut berpotensi menimbulkan ketegangan dalam kalangan pihak terlibat serta masyarakat setempat yang boleh membawa kepada kegusaran awam jika tidak ditangani.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan semua pihak yang terlibat hadir bagi pendengaran di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah serta memfailkan kenyataan bertulis berhubung pemilikan sebenar (actual possession) tanah berkenaan.

Bagaimanapun, Muhammad Hariz mempersoalkan laporan media yang menyatakan mahkamah mengarahkan kerja-kerja merobohkan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Taman Rawang Perdana dihentikan sementara.

“Tiada sebarang perkataan atau perintah sedemikian dilafazkan oleh Majistret Selayang. Sebarang kenyataan yang memetik perintah mahkamah secara mengelirukan boleh dikenakan tindakan penghinaan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah diarahkan oleh anak guam untuk mendapatkan alasan penghakiman serta nota prosiding mahkamah bagi tujuan pemfailan semakan di Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, Yayasan Kubra menyeru semua pihak supaya tidak memanipulasikan atau mengelirukan masyarakat dengan andaian bahawa mahkamah telah mengeluarkan arahan sedemikian.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Majistret Selayang memutuskan Yayasan Kubra tidak dibenar meneruskan kerja merobohkan kuil tersebut buat masa ini sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung pertikaian hak milik tanah.

Mahkamah juga menetapkan 5 Jun ini untuk penelitian dokumen berkaitan kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button