BERITA SEMASA

Wanita PH kecam Zahid, dakwa tindakan persenda fizikal Noraini cetekkan budaya politik

KUALA LUMPUR – Wanita Pakatan Harapan (PH) mengecam kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang didakwa menyentuh aspek fizikal dan perwatakannya secara terbuka di pentas utama.

Ketua Setiausaha Wanitanya, Mashitah Ismail berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja mempamerkan kelemahan kepimpinan dan kekurangan empati, malah dilihat merendahkan budaya politik negara.

Menurutnya, Islam sendiri mengangkat martabat wanita serta mengajar umatnya supaya menjaga maruah dan mengelakkan penghinaan atau ejekan terhadap fizikal seseorang.

“Sebagai contoh, perbuatan melabel pemimpin wanita dengan imej nenek-nenek atau menjadikan bentuk tubuh badan sebagai bahan jenaka di khalayak ramai bukan sahaja melanggar etika kemanusiaan, malah bertentangan secara terus dengan perintah Allah SWT yang menuntut kita memelihara kehormatan sesama insan,” katanya dalam kenyataan.

Mashitah turut memetik Surah Al-Hujurat ayat 11 yang antara lain mengingatkan umat Islam supaya tidak mencela atau merendahkan orang lain.
Beliau berkata, sayap wanita merupakan antara jentera terpenting dalam mana-mana organisasi politik dan kepimpinan wanita sewajarnya dinilai berdasarkan kebolehan, integriti serta sumbangan, bukannya aspek fizikal.

“Penilaian terhadap kepimpinan wanita mesti berlandaskan kebolehan, integriti dan sumbangan mereka. Penilaian ini tidak sepatutnya dijadikan subjek komedi bersandarkan ukuran fizikal.

“Tindakan merendahkan wanita berasaskan usia mencerminkan pemikiran yang dangkal, sekali gus menafikan sumbangan dan bakti besar golongan warga emas kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan persidangan politik seharusnya menjadi medan perbahasan dasar yang membina masa depan rakyat, bukannya ruang untuk diskriminasi atau serangan peribadi.

Katanya, insiden sedemikian berpotensi mematahkan semangat serta merencatkan agenda pemerkasaan wanita dalam politik, selain menjejaskan usaha menarik lebih ramai generasi wanita muda menyertai bidang berkenaan.

Sehubungan itu, Wanita PH mendesak semua pemimpin politik merentas parti supaya menghentikan budaya politik yang disifatkannya cetek dan mengutamakan kritikan membina berasaskan fakta.

“Tiga prinsip turut digariskan iaitu mematangkan budaya politik, memelihara maruah wanita serta menunjukkan kepimpinan berakhlak melalui nilai diplomasi, kesantunan dan rasa hormat.

“Nilai wanita pada akal, akhlak dan jasa: Raikan kepimpinan, hentikan sendaaan fizikal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button