BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

RM300 juta perkukuh sektor perikanan negara, perkasa komuniti nelayan B40

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi memperkukuh sektor perikanan negara dan memperkasa komuniti nelayan terutamanya golongan B40.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu disalurkan melalui dua skim utama yang diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) yang dipengerusikannya hari ini.

Ahmad Zahid bergambar bersama sebahagian ahli mesyuarat di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Skim pertama ialah Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan bagi menaik taraf vesel dan mengautomasi industri perikanan, manakala skim kedua ialah Skim Geran Padanan untuk menggantikan pukat tunda dan bot kepada kaedah tangkapan yang lebih lestari serta mesra alam.

“Setiap skim ini diperuntukkan RM150 juta,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau, mesyuarat tersebut turut membentangkan hasil Sesi Libat Urus Komuniti Nelayan (SLU) yang dijalankan sejak November 2024.

“Hasilnya, sebanyak 37 isu utama nelayan dikenalpasti dan 46 peratus daripadanya telah berjaya diselesaikan melalui pendekatan rentas kementerian.

“Ia sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan yang inklusif dan responsif terhadap suara komuniti nelayan,” katanya.

Dalam usaha merancakkan ekonomi nelayan, Zahid turut mengumumkan pelaksanaan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA) yang menyasarkan nelayan tidak berlesen di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis untuk beralih kepada penternakan kerang dan kupang.

“Projek strategik empat fasa itu dijangka menjana pulangan sehingga RM50 juta setahun dengan kos keseluruhan RM5 juta bagi tempoh 2025 hingga 2029.

“Ia juga akan disokong menerusi Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur,” ujarnya.

Selain itu, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan turut memperkenalkan Program Latihan dan Geran Keusahawanan Nelayan Tempatan melibatkan latihan dan pensijilan kepada tekong serta nelayan tempatan di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Lumut, Perak.

“Latihan ini merangkumi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), kursus jangka pendek dan sokongan geran keusahawanan sehingga RM200,000.

“Sebagai permulaan, projek rintis pada 2025 akan melibatkan 50 peserta,” jelas beliau.

Katanya lagi, mesyuarat juga membincangkan pelaksanaan Ops Tiris 1.0 hingga 3.0 yang berjaya menggagalkan penyelewengan subsidi diesel dengan 1,600 tangkapan dan nilai rampasan melebihi RM400 juta.

“Selain itu, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel kepada nelayan bermula 10 Jun 2024 di Semenanjung menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan memastikan nelayan masih menikmati harga RM1.65 seliter, manakala penguatkuasaan di Sabah, Sarawak dan Labuan akan diperhebatkan” katanya.

Zahid menegaskan bahawa kerajaan komited dalam membanteras ketirisan subsidi dan penyelewengan dengan melaksanakan dasar yang bersasar serta memperkukuh kapasiti nelayan demi memastikan industri perikanan kekal sebagai tunjang keterjaminan makanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button