BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Lebih 3,000 anak pekebun kecil terima manfaat Program Tuisyen Rakyat RISDA 2024

KUALA LUMPUR – Seramai 3,015 pelajar dari seluruh negara mendapat manfaat menerusi pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat RISDA 2024 yang diteruskan bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar luar bandar, khususnya anak-anak pekebun kecil.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program turut menyaksikan peningkatan ketara dalam pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Buktinya, Ahmad Zahid berkata, seramai 884 pelajar mencatat keputusan cemerlang dengan sekurang-kurangnya 5A, berbanding 654 orang pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian itu menunjukkan peningkatan 35 peratus sekali gus membuktikan keberkesanan program dalam membantu pelajar luar bandar mencapai kejayaan akademik yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Baca juga : TPM Zahid mahu UCAM jadi peneraju TVET pertanian serantau

Majlis itu merupakan penganjuran kali kedua sejak program ini diperkenalkan tahun lalu sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi dalam pembelajaran.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan program itu melibatkan peruntukan sebanyak RM3.52 juta dan dikendalikan oleh 1,005 tenaga pengajar.

“Bimbingan intensif diberikan bagi lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains.

“Sebanyak 201 pusat tuisyen digunakan dengan kapasiti maksimum 15 pelajar bagi setiap pusat, bagi menjamin keberkesanan sesi pembelajaran,” katanya.

Untuk rekod sejak mula diperkenalkan pada tahun 2007, program ini telah memberi manfaat kepada 35,316 pelajar dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM31.03 juta.

Tambah Ahmad Zahid, KKDW dan RISDA akan terus memperkukuh usaha ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa modal insan luar bandar dan membuka lebih banyak peluang untuk masa depan generasi desa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button