BERITA SEMASA

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama diharap dapat baiki perpecahan masyarakat – TPM

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan harapan agar Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 dapat memperkasa tanggungjawab moral daripada pelbagai pihak untuk memperbaiki perpecahan yang wujud dalam kalangan masyarakat menerusi nilai-nilai sejagat.

Beliau berkata demikian selepas mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebut berkaitan tema persidangan iaitu “Kesatuan Dalam Kepelbagaian”.

“Saya mendengar dengan teliti ucapan Perdana Menteri semasa ucapannya yang antara lainnya menyebut dalam mengangkat tema persidangan “Kesatuan Dalam Kepelbagaian”, ia amat penting kerana nilai ini berkait dengan isu mendesak kini termasuklah isu ketidaksepakatan, perselisihan dan perpecahan dalam menyantuni kehidupan global yang pelbagai.

“Beliau turut menyifatkan persidangan antarabangsa ketua-ketua agama yang diadakan ini sangat penting buat Malaysia khususnya dalam mempromosikan pemahaman tentang Islam, Rahmatan Lil Alamin (rahmah kepada sekalian alam) dan memangkin usaha menyampaikan mesej keamanan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berharap agar majlis itu dapat mengubah pemikiran semua pihak ke arah yang lebih dinamik, bertoleransi disamping terus bersama maju ke hadapan.

Terdahulu, Anwar hadir merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 yang disertai hampir 2,000 tokoh agama dan intelektual dari 57 negara.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Agung Muslim World League (MWL) yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut hadir.

Persidangan berkenaan dianjurkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MWL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button