JENAYAH & MAHKAMAH

Pertuduhan bekas COO Tabung Haji ditangguh 24 September kerana masalah jantung

SHAH ALAM – Sebutan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani ditangguhkan ke 24 September ini berikutan masalah kesihatan yang dialaminya.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Awang Keris Nada Awang Mahmud membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 31 Ogos lalu.

Peguam bela, Wan Azman Aiman Wan Fakhruddin berkata pihaknya telah mengemukakan surat pengesahan doktor kepada mahkamah berhubung keadaan kesihatan anak guamnya.

Menurut beliau, Adi Azuan mengalami sakit dada dan kini menjalani prosedur angiogram bagi mengenal pasti keadaan kesihatan serta rawatan lanjut yang diperlukan.

“Buat masa ini, tempoh rawatan dan jangka masa tertuduh untuk pulih masih belum dapat dipastikan,” katanya memetik laporan RTM.

Isteri tertuduh, Zureen Zainudin, turut hadir di mahkamah bagi mengikuti prosiding berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk seorang kenamaan, bagi membantu siasatan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dijangka didakwa di mahkamah pada Khamis dan Jumaat.

Kes berkenaan menjadi tumpuan susulan siasatan SPRM berkaitan isu pengurusan dan pelaburan Tabung Haji yang turut disentuh dalam laporan RCI berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button