LUAR NEGARA

Ribuan penduduk dipindahkan akibat Arnab

BHUBANESWAR – Ribuan penduduk di sepanjang pantai timur India dipindahkan, hari ini dengan beberapa perkhidmatan kereta api dibatalkan, sehari sebelum Siklon Arnab yang membawa angin kencang dan hujan lebat diramalkan membadai daratan.

Di negara jiran Nepal, pihak berkuasa memberi amaran kepada para pelancong supaya tidak meneroka kawasan tanah tinggi kerana bimbang siklon tropika boleh mencetuskan hujan lebat, ribut salji, serta runtuhan salji di wilayah Himalaya bermula malam Khamis hingga Sabtu, lapor Reuters.

Risiko itu timbul ketika negara pergunungan itu baru mula pulih daripada bencana banjir kilat maut pada Ogos lalu yang mengorbankan kira-kira 1,500 orang.

Siklon Arnab, yang terbentuk di Teluk Bengal, didapati makin meningkatkan kekuatannya sejak semalam, menurut pejabat kaji cuaca India, hari ini.

Siklon itu dijangka membadai daratan di negeri pantai selatan Andhra Pradesh menjelang pagi Rabu dengan membawa angin kencang dan hujan lebat ke sebahagian kawasan negeri tersebut serta negeri jirannya, Odisha.

Hampir 50,000 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan dari kawasan berisiko tinggi menjelang malam Isnin, daripada anggaran 400,000 penduduk yang perlu dipindahkan, kata Prakhar Jain, Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negeri Andhra Pradesh kepada Reuters.

“Proses pemindahan masih berterusan,” tambah Jain.

Setakat ini belum ada proses pemindahan dijalankan di Odisha, kata Pesuruhjaya Bantuan Khas Odisha, Rajesh Prabhakar Patil kepada Reuters.
Negeri berkenaan telah mengumumkan penutupan sekolah dan kolej di lima daerah bagi hari Selasa dan Rabu.

Rakaman televisyen memaparkan ombak menghempas pantai yang lengang serta deretan kedai yang ditutup di sepanjang jalan kawasan terjejas.

Sekurang-kurangnya 12 perkhidmatan kereta api dibatalkan di bahagian timur, manakala operasi rel bagi 53 laluan di sepanjang pantai selatan digantung untuk Selasa dan Rabu, menurut hantaran pihak berkuasa kereta api wilayah di media sosial.

Teluk Bengal merupakan antara kawasan utama di dunia yang kerap dilanda siklon tropika, sekali gus menjadikan pantai timur India amat terdedah kepada bencana cuaca berkaitan laut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button