AS kenakan tarif 50 peratus, hubungan dengan India kian meruncing
WASHINGTON – Hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan India kini berada pada tahap paling buruk selepas Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif import sebanyak 50 peratus ke atas India susulan pembelian minyak dari Rusia.
Langkah itu menjadikan India antara negara yang dikenakan kadar tarif tertinggi di dunia ketika ini, sekali gus mengejutkan banyak pihak yang melihat hubungan antara kedua-dua negara sebelum ini agak rapat.
Tindakan Trump itu mencerminkan pendekatan ‘onshoring’ yang lebih mengutamakan kepentingan domestik berbanding ‘friend-shoring’ atau kerjasama strategik dengan sekutu.
Naib Presiden Strategi dan Penyelidikan Asia Pacific Foundation of Canada, Vina Nadjibulla berkata, situasi ini merupakan titik paling rendah dalam hubungan dua hala AS-India dalam tempoh bertahun-tahun.
“India kini termasuk dalam kumpulan kecil negara yang tiada perjanjian perdagangan dengan AS dan dikenakan tarif paling tinggi.
“Mereka perlu mencari jalan pragmatik untuk membina semula kepercayaan,” memetik laporan Al-Jazeera online.
Tarif tambahan 25 peratus itu diumumkan minggu ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 50 peratus.
Ia dikenakan susulan pembelian minyak dan senjata oleh India daripada Rusia dan perkara yang sebelum ini turut mendapat amaran daripada Trump.
Setakat tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala AS-India mencecah AS$212 bilion (RM996 bilion) dengan lebihan kira-kira AS$46 bilion (RM216 bilion) berpihak kepada India.
India sebelum itu menawarkan beberapa konsesi dalam rundingan termasuk mengurangkan cukai ke atas barangan industri dari AS serta meningkatkan pembelian dalam sektor tenaga dan pertahanan.
Namun, India enggan membuka pasaran untuk produk pertanian dan tenusu AS yang dianggap sensitif kerana melibatkan jutaan rakyat miskin dan pendirian yang turut diambil oleh beberapa negara lain seperti Kanada.
Menurut Pengarah Inisiatif Asia Selatan di Asia Society Policy Institute, Farwa Aamer, ketegangan perdagangan ini turut dipengaruhi isu geopolitik.
Beliau berkata, antara isu utama yang menjejaskan hubungan ialah perbezaan pandangan berhubung konflik antara India dan Pakistan pada Mei lalu.
“Trump mendakwa menjadi orang tengah dalam usaha damai, tetapi India menafikan sebarang penglibatan Trump dan menegaskan tiada perbualan antara beliau dan Modi ketika konflik berlaku,” katanya lagi.
Pakistan pula menyokong kenyataan Trump dan bahkan mencadangkannya untuk Hadiah Nobel Keamanan serta memperoleh beberapa perjanjian baru dengan AS berkaitan eksplorasi minyak dan mineral.
India dalam kenyataannya menyifatkan tindakan tarif itu sebagai “tidak adil, tidak munasabah dan tidak berasas” serta menegaskan bahawa pembelian minyak dari Rusia adalah penting untuk memenuhi keperluan tenaga 1.4 bilion penduduknya.
“India tidak mahu dilihat tunduk, Modi perlu mempertahankan kedudukan India sebagai kuasa besar yang berdaulat dan berkepentingan strategik,” katanya lagi.
Dalam masa terdekat, India dijangka memberi tumpuan untuk memperkukuh perjanjian perdagangan dua hala lain seperti yang dimeterai dengan United Kingdom baru-baru ini dan satu lagi yang sedang dirunding bersama Kesatuan Eropah.
India juga dijangka menyertai Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di China hujung bulan ini dan lawatan pertama Modi ke negara itu sejak ketegangan di Lembah Galwan pada 2020.
Langkah AS mengenakan tarif ini turut memburukkan usaha India menarik pelabur asing, termasuk syarikat-syarikat teknologi seperti Apple yang merancang memasang semua iPhone untuk pasaran AS di India menjelang tahun hadapan.
Walaupun barangan elektronik tidak terkesan secara langsung dengan tarif tersebut, pakar berpandangan status India sebagai rakan dagang kini tergugat.
“Trump sudah menunjukkan bahawa beliau lebih berminat membawa pulang industri ke tanah air berbanding membina hubungan ekonomi yang mesra,” kata Nadjibulla.
Pakar perdagangan antarabangsa dari Middlebury Institute of International Studies, Robert Rogowsky menjangkakan hubungan ini masih boleh diperbaiki menerusi diplomasi kreatif.
“Tekanan keras terhadap pemimpin seperti Modi hanya akan membawa kepada tindak balas dan perubahan haluan yang tidak dijangka,” katanya lagi.
Buat masa ini, India dilihat mengambil pendekatan berwaspada, sambil meneruskan dasar luar yang mengekalkan hubungan dengan Rusia dan pada masa sama mengimbangi kepentingan dengan AS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








