BERITA SEMASA

AS turunkan tarif produk Malaysia daripada 25 kepada 19 peratus

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) bersetuju menurunkan kadar tarif terhadap produk keluaran Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, susulan termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara kedua-dua negara semalam.

Perjanjian penting itu membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi Malaysia–AS dengan memberi jaminan pasaran yang lebih stabil, akses lebih luas, serta peluang pelaburan dan pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjanjian tersebut memberikan keyakinan besar kepada pemain industri tempatan untuk terus mengembangkan pasaran ke peringkat global.

“AS telah bersetuju untuk menurunkan tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus bagi barangan Malaysia, langkah yang menstabilkan dan melindungi produk kita daripada ancaman kenaikan mendadak,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Beliau berkata, Malaysia turut memperoleh pengecualian penuh daripada tarif 19 peratus bagi 1,711 talian tarif bernilai AS$5.2 bilion (kira-kira RM22 bilion), yang merangkumi eksport utama negara seperti minyak sawit, produk getah dan alat ganti pesawat.

“Ini adalah jaminan nyata kepada industri tempatan. Ia memberi ruang bernafas kepada pengeksport Malaysia dan menyediakan prospek yang jelas untuk pelaburan jangka panjang dalam sektor perkilangan,” katanya lagi.

Perjanjian ini merupakan lanjutan kepada Trade and Investment Framework Agreement (TIFA) yang dimeterai pada tahun 2004, dan kini diperluas dengan tumpuan kepada kestabilan tarif, perdagangan digital, serta pelaburan strategik.

Selain pengurangan tarif, Malaysia juga komited untuk mempermudah import produk AS termasuk keluli, mesin, dan bahan pertanian, serta menyusun semula keperluan halal bagi kosmetik, ubat-ubatan dan peranti perubatan agar sejajar dengan piawaian global tanpa menjejaskan syariat Islam.

Dalam masa sama, AS memberi akses pasaran istimewa kepada barangan Malaysia seperti semikonduktor, tekstil, komponen automotif dan peralatan elektrik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran berteknologi tinggi di rantau ini.

Malaysia juga menegaskan komitmennya terhadap pemeliharaan alam sekitar dan hak pekerja, termasuk memperketat penguatkuasaan undang-undang bagi menangani pembalakan haram, perdagangan hidupan liar, serta menghapuskan buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

“Komitmen ini bukan sahaja membawa pelaburan berimpak tinggi, malah menjana peluang pekerjaan berkualiti. Kita teruskan momentum ini demi memastikan kemakmuran dan masa depan Malaysia MADANI,” katanya lagi.

Selain sektor perdagangan, kedua-dua negara turut memeterai persefahaman baharu dalam pembangunan bahan nadir bumi dan mineral kritikal, di mana Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan sekatan eksport terhadap AS.

Malaysia juga akan bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat AS bagi memperkukuh pengeluaran mineral strategik serta menjamin lesen operasi jangka panjang untuk pelabur luar.

Dalam bidang digital pula, Malaysia bersetuju tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital terhadap syarikat AS, membenarkan pemindahan data rentas sempadan secara selamat, dan menyokong moratorium kekal terhadap cukai transaksi elektronik di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perbendaharaan AS kini sedang memuktamadkan memorandum persefahaman mengenai dasar mata wang sebagai sebahagian daripada pelaksanaan ART ini.

Perjanjian tersebut dijangka berkuat kuasa dalam tempoh beberapa minggu akan datang selepas kedua-dua negara menyelesaikan proses perundangan masing-masing.

Perkembangan itu disifatkan oleh pemerhati ekonomi sebagai satu kejayaan besar Malaysia dalam diplomasi perdagangan antarabangsa, sekali gus meletakkan negara pada landasan kukuh untuk terus menarik pelaburan strategik dari kuasa ekonomi dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button