LUAR NEGARA

Bekas pekerja dakwa ratusan mayat ditanam di sekitar Kuil Dharmasthala, Karnataka

NEW DELHI – Seorang bekas pekerja pembersihan tampil dengan dakwaan mengejutkan bahawa beliau dipaksa mengebumikan ratusan mayat termasuk wanita dan kanak-kanak sepanjang hampir dua dekad bertugas di Kuil Dharmasthala, sebuah pusat ibadah terkenal di Karnataka, India.

Lelaki berusia 48 tahun daripada komuniti Dalit itu mendakwa, antara tahun 1995 hingga 2014, beliau menyaksikan sendiri jenayah pembunuhan kejam melibatkan mangsa rogol, serangan asid dan penderaan seksual, termasuk terhadap gadis bawah umur.

Beliau juga mendakwa dipukul dan diugut oleh penyelianya agar tidak melaporkan kejadian, malah dipaksa mengebumikan atau membakar mayat menggunakan diesel supaya tiada bukti ditinggalkan, lapor Al Jazeera.

“Mereka ugut akan kerat saya dan bunuh ahli keluarga jika saya tidak patuh. Saya tidak sanggup simpan rahsia ini lagi,” katanya dalam satu kenyataan bersumpah yang dibacakan di mahkamah pada 11 Julai lalu.

Beliau kini dilindungi sebagai saksi di bawah perintah mahkamah.

Menurutnya, mayat-mayat itu sering kali dijumpai dalam keadaan bogel atau separa berpakaian, dengan kesan kecederaan serius pada bahagian sulit serta ada yang menunjukkan kesan dicekik atau dibakar dengan bahan kimia.

Setelah bertahun hidup dalam ketakutan dan sering berpindah-randah, lelaki itu akhirnya tampil pada awal Julai lalu dengan ‘beban rasa bersalah yang tidak tertanggung’ dan menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa mengenal pasti lokasi-lokasi kubur besar yang didakwanya masih wujud di sekitar kawasan kuil.

Susulan tekanan awam dan desakan aktivis, kerajaan negeri Karnataka yang diterajui parti pembangkang Kongres telah menubuhkan Pasukan Siasatan Khas (SIT) bagi menyiasat dakwaan yang menggemparkan itu.

Kuil Dharmasthala yang berusia lebih 800 tahun dan terletak di daerah Dakshina Kannada, menerima ribuan jemaah setiap hari dan dianggap suci oleh penganut Hindu dan Jain.

Kini, ia menjadi tumpuan dalam salah satu siasatan jenayah paling mengejutkan di India.

Siasatan dan kemungkinan ekskavasi tapak kubur dijangka bermula dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button