JENAYAH & MAHKAMAH

Pengesahan cerai rujuk pasangan pempengaruh ditangguh, Aslam-Marissa mohon doa baik-baik

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menangguhkan keputusan berhubung permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk melibatkan pempengaruh, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid atau Aslam dan isterinya, Marissa Dania Hakim.

Pasangan itu hadir ke mahkamah hari ini bagi sebutan pertama kes berkenaan di hadapan Hakim Syarie Nadia Khamis, namun tiada keputusan dapat dibuat susulan beberapa isu hukum syarak dan perundangan yang masih perlu diperhalusi.

“Maaf, saya tak ada apa-apa nak komen. Saya minta semua doakan yang baik-baik sahaja. Insya-Allah,” kata Aslam ringkas kepada media.

Ditanya pula kepada Marissa berhubung keadaannya, anak kedua pelakon Abby Abadi bersama bekas suami, Norman Hakim itu hanya mengangguk kepala dan Aslam menjawab bagi pihaknya.

“Okay, saya sihat, Alhamdulillah. Kita baik-baik saja. Selamat Hari Raya semua,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memaklumkan, sebutan kes tersebut ditangguhkan ke satu tarikh lain atas permintaan anak guamnya.

Menurutnya, mahkamah belum dapat membuat sebarang keputusan berhubung pengesahan lafaz cerai dan rujuk berikutan terdapat pelbagai isu yang perlu diteliti terlebih dahulu.

Beliau turut memberitahu, Marissa selaku defendan tidak diwakili peguam dalam prosiding tersebut.

Terdahulu, Aslam dilaporkan telah melafazkan cerai sebanyak dua kali dan rujuk sebanyak dua kali terhadap Marissa, masing-masing berlaku pada 2024 dan 2025.

Permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk itu difailkan di mahkamah pada 10 Mac lalu.

Untuk rekod, pasangan berkenaan sebelum ini hadir ke mahkamah sama pada Mei tahun lalu bagi tujuan pengesahan pernikahan selepas dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Difahamkan, perkahwinan tersebut berlaku ketika Aslam masih berstatus suami kepada Umisya Mazlan dan didakwa berlangsung tanpa pengetahuan isteri pertama serta keluarga Marissa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button