
Serangan balai polis, cubaan ceroboh Istana Negara tiada kaitan – KDN
PUTRAJAYA – Insiden terhadap institusi negara akhir-akhir ini disahkan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain memandangkan corak jenayahnya juga disifatkan berbeza.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan awal pihak polis turut mendapati kesemua kes jenayah, ugutan termasuk cubaan menceroboh Istana Negara baru-baru ini, mempunyai motif berbeza.
Jelasnya, kes tembakan terhadap anggota polis di Ulu Tiram, Johor dikaitkan dengan elemen ‘lone wolf’ (secara bersendirian), manakala kes cubaan rampasan senjata api di Balai Polis Dato’ Keramat di Pulau Pinang pula disebabkan mabuk.
“Yang kita tahan di Istana Negara pula, dia (pelaku) kata dia bermimpi dan mimpi itu memerintahkan dia untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Yang di Datuk Keramat pula, dia (pelaku) mabuk, jadi tak sama.
“Kesemua corak jenayah itu diperolehi selepas kita (pperoleh) profil pelaku jenayah dalam kes-kes berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, siasatan polis terhadap beberapa insiden yang mengancam institusi penting negara menjurus ke arah untuk menentukan sama ada ia merupakan tindakan rambang atau terancang secara individu mahupun berkumpulan.
Ia termasuk serangan terhadap dua balai polis, Istana Negara dan ugutan bunuh diterima oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





