‘Rafizi perlu fokus Pemilihan PKR, jangan fikir perkara lain’ – Saifuddin Nasution
PAPAR – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dinasihatkan supaya fokus kepada kempen pemilihan PKR 2025 dan tidak memikirkan perihal perkara lain.
Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menjadi kewajipan buat beliau menasihati “sahabat karibnya” memandangkan pemilihan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
“Saya fikir kita selesaikan dahulu kempen mengikut peraturan. Terangkan mengenai trek rekod kita dan visi menguatkan parti.
“Jangan fikir sama ada kita akan disekat dan sebagainya. Rafizi sahabat karib saya dan hampir setiap hari kami bercakap melalui telefon.
“Jadi, sekalipun sahabat karib, sudah menjadi kewajipan saya untuk menyampaikan pesan bahawa fokus kepada kempen kerana pemilihan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, ” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian selepas hadir pada Majlis Peluncuran Batalion 21 Pasukan Gerakan Am (PGA) Keningau, Batalion 22 PGA Kunak dan Batalion 23 PGA Sri Aman di PGA Briged Sabah, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Rafizi sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan membayangkan membayangkan dirinya mungkin akan kembali tidak dibenarkan masuk ke Sarawak jika tiada lagi berjawatan dalam kerajaan dan parti termasuk sebagai Timbalan Presiden PKR kelak.
Rafizi memaklumkan, sebelum dilantik menjadi menteri dalam Kerajaan Perpaduan, beliau sudah biasa dilarang memasuki Sarawak.
Susulan itu, katanya, tidak mustahil larangan berkenaan akan dilaksanakan semula jika beliau tidak lagi memegang jawatan dalam parti dan Kabinet.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau berucap dalam program Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kuching, Sarawak, semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















