KDN umum laksana Program Repatriasi Migran 2.0
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) bermula 19 Mei ini sehingga 30 April 2026, khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PRM 2.0 merupakan program pengampunan pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara sukarela yang merupakan lanjutan siri pertama berakhir pada 30 Mac lalu.
“Melalui program ini, PATI akan dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan.
“KDN menyeru semua pihak termasuk perwakilan asing, majikan dan komuniti warga asing untuk menyebar luaskan maklumat ini dan menggalakkan penyertaan awal bagi mengelakkan kesesakan menjelang tarikh akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan kepada PATI bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah serta tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.
“Bagi kesalahan melanggar syarat pas pula, kompaun dikenakan sebanyak RM300.
“Selain itu, pemohon turut dikenakan bayaran Pas Khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran.
“Kanak-kanak warga asing berumur di bawah 18 tahun yang tinggal lebih masa atau dibawa masuk ke Malaysia tanpa suatu pas yang sah adalah dikecualikan daripada kompaun namun perlu membayar Pas Khas yang sama,” jelas beliau.
Bagaimanapun, tegas Saifuddin, PRM 2.0 tidak terbuka kepada PATI yang telah mendaftar dan gagal membuat perjalanan keluar di bawah program sebelumnya
“Malah, mereka yang disenarai hitam JIM dan mempunyai waran tangkap atau dikehendaki oleh pihak berkuasa juga terkecuali daripada program ini,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








