Sektor agrikomoditi sumbang RM90.96 bilion kepada KDNK 2025 – Dr Noraini
PUTRAJAYA – Sektor agrikomoditi negara mencatat sumbangan RM90.96 bilion atau 5.24 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025, meningkat 4.01 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu membuktikan sektor agrikomoditi terus menjadi antara tonggak penting kepada ekonomi negara.
“Pada tahun 2025, sektor ini menyumbang RM90.96 bilion atau 5.24 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar Malaysia, meningkat 4.01 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Terdahulu, Dr Noraini menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Santunan Bakti Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 23 warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, disiplin dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah.
Majlis sama turut meraikan empat pesara KPK sebagai penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Sehubungan itu, Noraini menyeru seluruh warga KPK supaya terus bergerak sebagai satu pasukan dengan memperkukuh kerjasama serta memanfaatkan teknologi secara bijaksana.
“Perkhidmatan yang pantas, berintegriti dan berteraskan keperluan rakyat perlu terus menjadi keutamaan seluruh warga kementerian,” katanya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPK Tahun 2025 serta penghargaan kepada pesara atas sumbangan sepanjang berkhidmat.
Katanya, jasa dan legasi yang ditinggalkan para pesara akan terus menjadi sebahagian daripada perjalanan KPK.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






