9,528 kes daftar lewat kelahiran tahun lepas – Saifuddin
HULU SELANGOR – Sebanyak 9,528 kes pendaftaran kelahiran lewat direkodkan di seluruh negara tahun lalu, dengan majoritinya berpunca daripada perkahwinan yang tidak didaftarkan serta kurangnya kesedaran mengenai keperluan mematuhi peruntukan undang-undang.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegagalan mendaftarkan perkahwinan akan memberi kesan kepada status pasangan.
“Malah ia juga memberi implikasi besar kepada anak-anak apabila kelahiran mereka turut tidak didaftarkan kerana akan menyukarkan akses kepada pendidikan, rawatan kesihatan dan kemudahan asas lain.
“Anak-anak ini tidak bersalah, tetapi terpaksa membesar di luar arus perdana. Ada yang hanya berjaya mendapatkan dokumen pengenalan diri selepas belasan atau puluhan tahun, hasil bantuan NGO peguam serta kerjasama jabatan dan pihak berkuasa agama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada seorang
bayi berusia satu tahun empat bulan di sini, semalam.
Ibu bayi itu, Nur Hakikah Ismail, 24, merupakan seorang daripada tujuh beradik yang menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan baru-baru ini kerana pendaftaran lewat susulan daripada perkahwinan ibu bapa mereka tidak didaftarkan, sekali gus menjejaskan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri anak.
Tujuh beradik berkenaan berusia antara 17 hingga 30 tahun itu menerima kelulusan permohonan Daftar Lewat Sijil Kelahiran pada 8 Disember, diikuti kelulusan Daftar Lewat Kad Pengenalan pada 23 Dis 2025.
Saifuddin Nasution berkata, di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, mendaftarkan kelahiran bukan hanya tanggungjawab ibu bapa, tetapi juga sesiapa sahaja yang mengetahui mengenai kelahiran berkenaan termasuk ahli keluarga atau jiran.
“Di Semenanjung Malaysia, pendaftaran perlu dibuat dalam tempoh 60 hari manakala di Sabah dan Sarawak dalam tempoh 40 hari, dengan proses pendaftaran lewat disediakan bagi kes yang melepasi tempoh itu,” katanya.
Beliau berkata, melalui proses pembetulan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa agama, anak-anak terlibat akhirnya dapat didaftarkan sebagai anak sah taraf serta memperoleh dokumen pengenalan diri seperti MyKad.
Kerajaan, katanya melaksanakan pendekatan turun padang menerusi inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Sabah dan Sarawak termasuk kawasan pedalaman, rumah panjang dan penempatan sukar diakses bagi mengesan individu yang belum memiliki dokumen pengenalan diri.
“Melalui MEKAR, pegawai JPN digerakkan ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman, bukan menunggu rakyat datang ke pejabat.
Program berkenaan sudah berjalan dan memberi impak sangat besar,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, isu pendaftaran lewat, walaupun melibatkan angka kecil berbanding populasi negara, tetapi perlu ditangani segera kerana kesannya besar terhadap masa depan anak-anak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








