BERITA SEMASA

Samakan latihan komando Maritim Malaysia dengan tragedi Memali adalah keterlaluan – Saifuddin

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membangkitkan semula insiden lama seperti tragedi Memali semata-mata untuk mencetuskan kebencian politik atau mengelirukan rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan sesetengah Ahli Parlimen yang menggunakan platform Dewan Rakyat untuk mengaitkan insiden latihan pasukan elit Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila dengan tragedi Memali dianggap tidak bertanggungjawab dan melampau.

“Apabila ia diheret sehingga disamakan dengan insiden Memali itu sudah keterlaluan.

“Kita tidak mahu rakyat terus bercakap tentang peristiwa 13 Mei atau Memali yang melibatkan kehilangan nyawa. Kita perlu jaga perasaan keluarga mangsa,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN bersama Maritim Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang timbul dalam Dewan Rakyat baru-baru ini kononnya pasukan elit Maritim Malaysia melakukan serbuan di Masjid Rusila, Terengganu.

Menurut beliau, siasatan lengkap telah dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan polis serta pertemuan antara pihak masjid, polis dan Ahli Parlimen Marang.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang perkara luar biasa berlaku. Ia hanya salah faham kecil yang telah diselesaikan secara baik antara semua pihak,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, insiden itu berlaku semasa latihan modul survival dan penyamaran bagi melayakkan anggota Maritim Malaysia ditauliahkan sebagai pasukan elit, bukan operasi sebenar.

“Dalam latihan itu, anggota perlu menyamar bagi mengelak daripada ditangkap jurulatih. Jika tertangkap, bermakna gagal.

“Latihan ini telah berlangsung di beberapa lokasi termasuk Kuala Berang, Kemaman dan berakhir di Akademi Maritim Kuantan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengingatkan wakil rakyat supaya menggunakan platform Parlimen dengan penuh tanggungjawab dan tidak menokok tambah fakta bagi mencipta sentimen negatif terhadap kerajaan.

“Platform Parlimen mesti digunakan dengan penuh tanggungjawab. Jangan sampai ucapan kita mengundang keresahan dalam masyarakat.

“Negara perlu hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan KDN memperuntukkan RM21.2 bilion bagi Belanjawan 2026, dengan keutamaan terhadap pembinaan dan naik taraf kemudahan keselamatan termasuk kompleks baharu Maritim Malaysia di Tok Bali, Kelantan; Kudat, Sabah dan Labuan.

“Keutamaan kami adalah memastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Laut China Selatan dan perairan Sabah,” katanya lagi.

Saifuddin menegaskan, KDN akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keselamatan negara, di samping memastikan sebarang isu lama seperti Memali tidak dijadikan bahan politik yang boleh menggugat keharmonian rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button