PN tidak akan tandatangani CSA demi peruntukan – Takiyuddin
MELAKA – Perikatan Nasional (PN) tidak akan berunding atau memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) semata-mata untuk mendapatkan peruntukan seperti yang dilakukan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan enam wakil rakyat diketuai Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibuat tanpa melibatkan gabungan berkenaan sekali gus mengetepikan PN sebagai blok pembangkang.
Menurutnya, pemeteraian CSA itu merupakan keputusan individu Ahli Parlimen terbabit dan tidak mencerminkan pendirian rasmi PN.
Katanya, mereka yang menyertai perjanjian itu terdiri daripada beberapa pihak yang tidak aktif bersama PN, termasuk kumpulan BERSATU, bekas ahli BERSATU dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“CSA itu adalah pilihan mereka sendiri sebagai Ahli Parlimen. Kebetulan, Ahli Parlimen yang menyertai CSA ini adalah daripada kumpulan yang tidak bersama secara aktif dalam PN iaitu kumpulan BERSATU sendiri, kumpulan bekas BERSATU yang dahulu melompat parti dan juga MUDA.
“Jadi, PN tidak terlibat dalam perundingan dan pemeteraian itu. Kami tidak terlibat,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Khamis lalu, enam Ahli Parlimen BERSATU memeterai CSA dengan kerajaan dengan menetapkan dua reformasi utama perlu dilaksanakan Putrajaya sebagai timbal balas terhadap sokongan mereka.
Antara tuntutan itu ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan mengasingkan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.
Sebagai balasan, enam wakil rakyat berkenaan akan menyokong Belanjawan 2027, manakala kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada mereka dengan jumlah setara seperti yang diterima Ahli Parlimen kerajaan.
Mengulas penggunaan logo BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Takiyuddin berkata, Perlembagaan PN membenarkan parti komponen menggunakan logo masing-masing dengan kebenaran gabungan itu.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan logo BERSATU setakat ini tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN dan belum mendapat kelulusan gabungan berkenaan.
“Dalam Perlembagaan PN, setiap parti anggota boleh menggunakan logo sendiri dengan kebenaran daripada PN. Tetapi, BERSATU setakat ini penggunaan logo mereka sendiri tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN. Jadi, tanpa kebenaranlah,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan tindakan terhadap BERSATU, beliau berkata, PN sedang meneliti perkara itu, termasuk kes berkaitan disiplin dan tatatertib parti berkenaan.
Katanya, sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas proses penelitian selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








