BERITA SEMASA

PN parti politik utama orang Melayu pada masa kini – Muhyiddin

SHAH ALAM – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri menunjukkan bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah parti politik utama orang Melayu pada masa ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini dibuktikan menerusi jumlah kerusi yang berjaya dimenangi oleh perikatan tersebut terutamanya di kawasan majoriti Melayu.

“Kejayaan PN mempertahankan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktikan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada PN,” kata Muhyidin ketika mengumumkan keputusan PRN PN di Hotel Concorde, di sini awal pagi tadi.

Di Selangor, kata beliau, PN berjaya menawan 22 kerusi yang mana kesemuanya merupakan kawasan majoriti Melayu, berbanding hanya lima sebelum ini.

“Kejayaan memenangi 22 kerusi ini juga bermakna PN telah berjaya menafikan majoriti 2/3 kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di negeri Selangor, yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat mereka.

“Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, PN akan berjaya merampas Selangor,” katanya laginya.

Muhyiddin menambah, di Pulau Pinang pula, seperti mana dijangka gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu telah membawa kejayaan besar kepada PN dengan memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.

“Ini adalah satu tamparan hebat kepada Anwar Ibrahim apabila semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh PN,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, PN memenangi sebanyak 60 peratus atau 146 kerusi daripada keseluruhan 245 kerusi yang ditandingi pada PRN kali ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa, dengan kemenangan besar PN itu, UMNO telah menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

“PN juga berjaya memenangi kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majoriti kecil Melayu seperti Derga yang menunjukkan bahawa PN turut mendapat sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu.

“Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Maka benarlah pilihan raya negeri ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH dan BN,” dakwanya lagi.

Oleh kerana itu, kata Muhyiddin, Anwar dan Zahid Hamidi yang menerajui gabungan itu mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta-merta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button