‘Muhyiddin tidak dijemput ke Mesyuarat MT PN kerana beliau letak jawatan’ – Takiyuddin
KUALA LUMPUR – Keputusan untuk tidak menjemput Tan Sri Muhyiddin Yasin ke mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Khamis ini susulan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, berkata atas sebab itu, hanya ahli MTPN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak tersenarai bagi menghadiri mesyuarat berkenaan.
“Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Muhyiddin) ini sudah berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu).
“Tapi tak apalah, walaupun demikian, (pemakluman peletakan jawatan itu) perlu dibawa kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk diluluskan juga,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS, di sini hari ini.
Satu surat jemputan mesyuarat luar biasa PN Khamis ini yang dikongsi gabungan itu semalam mengundang kritikan pemimpin BERSATU yang mempersoalkan mengapa nama Muhyiddin tidak tersenarai sebagai jemputan.
Mengenai mesyuarat Khamis ini, Takiyuddin berkata, antara agenda yang akan dibincangkan termasuk memilih pengerusi mesyuarat, meluluskan atau membincangkan sama ada meluluskan atau tidak peletakan jawatan Muhyiddin serta melantik Pengerusi PN yang baru.
“Kalau Majlis Tertinggi PN sudah meluluskan peletakan jawatan (Muhyiddin) itu, maka seterusnya perlu melantik Pengerusi PN yang baru.
“Saya jangka, bila kita dapat melantik Pengerusi baharu PN pada 29 Januari ini, Pengerusi PN itu sudah tentulah akan memanggil mesyuarat.
“Sebab dia perlu lantik setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan timbalan setiausaha agung.
“Kalau dia nak lantik yang baru. Kalau dia mahu kekal (pemimpin penyandang sebelum ini), maka kekallah. Ini kuasa Pengerusi PN,” katanya.
Jika mesyuarat luar biasa itu menolak peletakan jawatan Muhyiddin, maka Takiyuddin berkata, bekas perdana menteri itu perlu meneruskan tugasnya kembali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








