Warga asing tiada imuniti undang-undang, tindakan tegas akan diambil – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Status visa tidak memberi imuniti kepada warga asing untuk melanggar undang-undang di negara ini, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana warga asing yang didapati melanggar syarat pas, menimbulkan ancaman keselamatan atau mengganggu ketenteraman awam.
Katanya, antara tindakan yang boleh diambil termasuk pembatalan pas, penyenaraian hitam dan penghantaran pulang ke negara asal, yang dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu terbabit.
“Status visa, sama ada sebagai pelajar, pelabur, pemegang pas lawatan jangka panjang atau peserta program Malaysia My Second Home (MM2H), tidak sekali-kali memberikan imuniti daripada undang-undang negara ini.
“Keselamatan rakyat Malaysia dan kedaulatan negara ialah keutamaan yang tiada kompromi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan profesional tanpa diskriminasi terhadap bangsa atau negara asal.
Katanya, setiap laporan melibatkan warga asing akan disiasat dan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.
“Peristiwa melibatkan warga asing yang tular sejak kebelakangan ini telah menimbulkan perhatian ramai, namun perlu ditegaskan setiap insiden akan ditangani dengan sewajarnya melalui undang-undang sedia ada,” katanya.
Mengulas kedudukan warga China di Malaysia, Saifuddin berkata, negara itu tidak termasuk dalam 15 negara sumber rasmi pengambilan pekerja asing tidak mahir.
Beliau berkata, keberadaan tenaga kerja China di Malaysia ketika ini tertumpu kepada sektor profesional dan projek berskala besar berimpak tinggi termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Sehingga 15 Ogos lalu, terdapat 30,679 warga China didaftarkan sebagai ekspatriat profesional di Malaysia dengan sektor pembinaan mencatat jumlah tertinggi iaitu 10,825 orang, diikuti perkilangan (6,407), perkhidmatan (5,385), teknologi maklumat dan komunikasi (4,477) serta lain-lain sektor (3,585).
“Keberadaan warga China dalam tenaga kerja Malaysia lebih tertumpu kepada sektor profesional dan projek berskala besar yang memerlukan kepakaran teknikal tertentu bukan dalam kategori pekerja asing tidak mahir,” katanya.
Seiring aspirasi Kerajaan MADANI, Saifuddin berkata, Malaysia sentiasa terbuka kepada pelaburan, pendidikan dan kerjasama antarabangsa, namun keterbukaan itu tidak akan mengorbankan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.
“Setiap ancaman akan ditangani dengan sewajarnya demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan sejahtera untuk semua,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








