Pelajar warga asing maut terjatuh dari tingkat 33
KAJANG – Seorang pelajar perempuan warga asing berusia 19 tahun ditemukan maut selepas dipercayai tergelincir dari tingkat 33 sebuah apartmen ketika cuba keluar melalui tingkap tandas akibat pintu tandas yang rosak, semalam.
Mayat mangsa, yang merupakan pelajar di sebuah universiti awam, ditemui di koridor tingkat 12 dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam yang kemudian melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada jam 6.34 petang.
“Pemeriksaan awal oleh pasukan perubatan di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Pasukan Forensik polis turut hadir bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, siasatan awal mempercayai mangsa tergelincir semasa berusaha keluar melalui tingkap tandas kerana pintu tandas yang rosak.
“Mangsa jatuh ke koridor tingkat 12 apartmen tersebut.
“Hasil bedah siasat di Hospital Serdang yang dilakukan pada pukul 10 pagi mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi,” tambah beliau.
Naazron berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi Balai Polis terdekat atau Ketua Polis Balai Bandar Baru Bangi, ASP Mohd Nasri Tesnoh di talian 017-7102042 untuk menyalurkan maklumat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








