Bayar deposit sebelum masuk wad, warga asing tidak terkecuali – Dr Dzulkefly
PUTRAJAYA – Dakwaan yang tular di media sosial kononnya warga asing menerima rawatan percuma di hospital kerajaan adalah tidak benar memandangkan golongan berkenaan tetap dikenakan bayaran deposit sebelum dimasukkan ke wad.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pesakit warga asing perlu menjelaskan deposit sebanyak RM1,400 bagi kes perubatan dan RM2,800 bagi kes pembedahan sebelum pendaftaran kemasukan ke wad dilakukan.
Menurutnya, pemegang kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) pula hanya layak menerima potongan sebanyak 50 peratus daripada kadar deposit yang ditetapkan.
“Pesakit warga asing perlu membuat bayaran deposit sebelum didaftarkan untuk dimasukkan ke wad. Tidak betul kalau dikatakan mereka dapat dikecualikan daripada bayaran.
“Kementerian akan meneliti laporan dan melakukan siasatan lanjut bagi memastikan kesahihan maklumat yang tular,” katanya.
Sebelum ini, timbul dakwaan di platform media sosial yang menyatakan warga asing boleh mendapatkan rawatan percuma tanpa perlu membayar deposit dengan menggunakan Lampiran A.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata penggunaan Borang Lampiran A hanya melibatkan kes kritikal yang menyentuh situasi hidup dan mati di jabatan kecemasan hospital, tertakluk kepada penilaian pegawai perubatan pakar atau pengarah hospital.
“Borang Lampiran A ini hanya memberikan penangguhan, bukan pengecualian bayaran deposit, ini sementara rawatan dan penstabilan pesakit dibuat supaya pesakit tidak mati.
“Selepas pesakit berada dalam keadaan stabil, proses untuk mendapatkan bayaran rawatan akan diteruskan mengikut prosedur yang ditetapkan,” jelasnya.
Tambah beliau, polisi ‘No Wrong Door’ yang diamalkan di hospital kerajaan bertujuan memastikan pesakit yang berada dalam keadaan kritikal menerima rawatan segera tanpa mengira status kewangan mereka terlebih dahulu.
Dalam pada itu, pengecualian deposit hanya diberikan kepada warga asing yang mempunyai perlindungan insurans kesihatan seperti Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) atau skim insurans perubatan pelarian.
“Jika pesakit warga asing itu tidak mempunyai insurans tersebut dan tiada duit mencukupi, pesakit akan diminta menghubungi waris terdekat atau rakan-rakan bagi mendapatkan wang deposit berkenaan, tiada kompromi,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








