JENAYAH & MAHKAMAH

[VIDEO] Bergaduh rebut kawasan perniagaan, sembilan individu ditahan polis 

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan individu termasuk dua suspek utama ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima maklumat awal sebelum menggerakkan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Cheras dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di kawasan berkenaan.

“Pihak polis berjaya menahan sembilan suspek berusia antara 16 hingga 44 tahun di sekitar lokasi kejadian dan dua suspek utama bagi kes ini turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita, manakala semakan mendapati sebahagian besar suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

Polis turut merampas beberapa barangan yang disyaki digunakan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Cheras di talian 03-9205 0445/03-9205 0465 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, beberapa gambar dan video kejadian tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu berkumpul sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan berkenaan.

Rakaman itu turut menunjukkan kehadiran anggota polis dan beberapa motosikal peronda bagi mengawal keadaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button