Lelaki berang ditegur merokok dicekup
SHAH ALAM – Seorang lelaki yang terlibat dalam pergaduhan setelah berang akibat ditegur merokok di sebuah restoran di Seksyen 7 minggu lalu, berjaya ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di Persiaran Kayangan Seksyen 9 di sini, selepas pulang menunggang motosikal dari Thailand.
Katanya, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai mekanik bengkel motosikal.
“Suspek berjaya ditangkap sekitar daerah ini selepas baharu pulang ‘ride’ dari Thailand.
“Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini untuk reman,” katanya, hari ini.
Ujian air kencing ke atas mendapati suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod lampau.
Laporan media sebelum ini menyebut, lelaki tersebut menjadi berang selepas ditegur merokok hingga mencetuskan satu pergaduhan dengan pasangan suami isteri di sebuah restoran di Seksyen 13 di sini, baru-baru ini.
Kejadian pukul 11.50 malam pada 11 September lalu menimpa seorang wanita hamil dan suaminya yang tidak selesa dengan tindakan suspek merokok di meja berdekatan.
Mangsa hamil lapan bulan dan bimbang dengan kesihatannya kemudian meminta pekerja restoran menegur perbuatan lelaki itu, namun tidak diendahkan.
Selepas tiga kali ditegur suami mangsa, suspek bangun dan menghampiri pasangan berkenaan serta didakwa menghembus asap rokok ke arah mangsa sebelum berlakunya pertengkaran.
Insiden itu bertukar menjadi aksi tolak-menolak sebelum suspek beredar meninggalkan restoran yang dipenuhi pelanggan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















