Sindiket pelaburan saham palsu tumpas, 9 warga China diberkas
KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan tawaran pelaburan saham dalam talian yang menyasarkan warga China tumpas dengan sembilan lelaki warga negara itu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Mont Kiara, di sini hari ini.
Serbuan yang dijalankan sepasukan anggota Kuala Lumpur Police Strike Force antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang itu turut membawa kepada rampasan pelbagai peralatan elektronik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 41 tahun dipercayai berperanan mengendalikan operasi penipuan pelaburan saham secara dalam talian yang menyasarkan mangsa di China.

Beliau berkata, polis merampas 23 telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan komputer riba, sebuah modem internet Huawei OptiXstar, sebuah penghala (router) Starlink serta wang tunai berjumlah RM2,500.
“Hasil siasatan awal mendapati premis itu telah beroperasi sejak dua bulan lalu dengan seorang penyelia dan lapan pekerja.
“Mereka bekerja dari pukul 8 pagi hingga 10 malam mengikut waktu Malaysia dan ditawarkan gaji RM3,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket itu menjalankan penipuan membabitkan tawaran pelaburan saham yang tidak wujud dengan menyasarkan warga China sebagai mangsa.
Katanya, suspek dipercayai bertindak sebagai pasukan sokongan yang memberi khidmat nasihat kepada pelanggan supaya mendaftar akaun menerusi sebuah laman sesawang yang didakwa sebagai platform rasmi sebuah syarikat pelaburan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















