Eksekutif broker saham rugi RM1.24 juta akibat ditipu sindiket ‘phone scam’
GEORGE TOWN – Seorang eksekutif broker saham kerugian RM1.24 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran dan pegawai polis, bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, wanita berusia 47 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon pada 20 Jun lalu, yang memaklumkan terdapat bungkusan dari Kuching, Sarawak ke Terengganu menggunakan namanya yang telah ditahan pihak polis.
“Panggilan tersebut kemudiannya disambung ke balai polis di Terengganu, di mana suspek yang menyamar sebagai pegawai polis memberitahu akaun bank mangsa disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, mangsa diarahkan untuk menyerahkan semua wang bagi tujuan audit dengan ancaman waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya gagal berbuat demikian.
Mohd Alwi berkata, mangsa telah membuat 26 transaksi pemindahan wang dalam talian ke lima akaun bank yang diberikan oleh suspek antara 26 hingga 30 Jun lalu.
Mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas berkongsi kejadian itu dengan ahli keluarganya, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








