BERITA SEMASA

Sindiket pemalsuan e-PLKS dan ejen haram ditumpaskan

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan Permohonan Lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS) dan ejen haram menerusi satu Operasi Khas yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pada pukul 9.30 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari pelbagai pangkat di Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Katanya, berdasarkan aduan dan risikan selama tiga minggu, serbuan pertama dijalankan di Jalan Tun Tan Siew Sin, Kuala Lumpur, membongkar kegiatan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun yang sedang memproses e-PLKS palsu menggunakan komputer peribadi.

“Turut ditemui beberapa keping e-PLKS palsu yang telah dicetak serta beberapa naskhah pasport asing,” katanya ketika sidang media hari ini.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah menawarkan e-PLKS kepada pelanggan dengan bayaran sekitar RM50 bagi setiap satu, sebelum memproses dan mencetak dokumen itu sendiri.

“Suspek juga didapati memalsukan salinan dokumen pendaftaran dan surat berkaitan perniagaan. Kegiatan ini dipercayai telah berlangsung hampir enam bulan dan suspek dianggarkan meraih keuntungan sekitar RM45,000 hingga RM50,000,” jelas beliau.

Dalam serbuan kedua di sebuah premis di Jalan Masjid, Kuala Lumpur, JIM menahan tiga lelaki warga India berusia antara 39 hingga 64 tahun yang memiliki sejumlah besar pasport asing tanpa sebarang dokumen sah.

“Hasil kedua-dua serbuan, kami merampas 504 pasport asing pelbagai negara, empat komputer peribadi, empat mesin pencetak, 23 kad CIDB, beberapa keping e-PLKS palsu, 40 keping i-Kad dan wang tunai berjumlah RM94,332,” katanya lagi.

Zakaria berkata, semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan subseksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

“Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. Kami juga telah mengeluarkan saman kepada tujuh rakyat Malaysia di bawah Seksyen 40A Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya lagi, JIM akan meneruskan operasi dan serbuan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara berterusan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen.

“Tindakan akan diambil tanpa mengira status kewarganegaraan jika didapati terlibat dalam sebarang kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” tegas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button