Tiga warga China dicekup terbabit sindiket penipuan kerja atas talian
MELAKA – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja atas talian yang tidak wujud selepas menahan tiga lelaki warga China dalam serbuan di sebuah rumah di Pandan Malim, di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri pada Isnin lalu selepas risikan mendapati premis berkenaan dijadikan pusat operasi sindiket terbabit.
“Tiga lelaki warga China berusia 32 hingga 38 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam penipuan kerja sambilan atas talian yang menjanjikan pulangan lumayan kepada mangsa.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah komputer riba dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, semakan mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga 11 Julai ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Zulkhairi menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja atas talian yang kelihatan terlalu mudah dan menjanjikan pendapatan tinggi dalam masa singkat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








