Perebutan kawasan sekuriti punca pergaduhan di Balai Polis Meru, lapan lelaki diberkas
SHAH ALAM – Perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan dipercayai menjadi punca kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Balai Polis Meru, Klang pada Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati semua individu yang terlibat saling mengenali antara satu sama lain dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.
Menurutnya, polis telah menahan lapan lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Tangkapan pertama membabitkan lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang direman selama tiga hari sehingga 5 Mac sebelum tempoh reman mereka dilanjutkan sehari lagi.
“Tangkapan kedua melibatkan dua lelaki berusia 39 dan 44 tahun yang direman selama tiga hari sehingga 6 Mac, manakala tangkapan ketiga membabitkan seorang lagi suspek yang turut direman tiga hari sehingga 7 Mac,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, cubaan bunuh (Seksyen 307), samun berkumpulan (Seksyen 395/397) selain kes merusuh dengan senjata dan pecah rumah.
Shazeli turut memaklumkan bahawa salah seorang suspek merupakan individu yang dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis benzo.
“Dalam kejadian ini, polis turut merampas satu topi keledar dan sebatang besi paip yang dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Tegas beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mencabar kedaulatan institusi kepolisan serta mengganggu ketenteraman awam.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 148, Seksyen 427 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








