JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah MBDK didakwa terima rasuah RM3,500

SHAH ALAM – Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan RM3,500 daripada seorang kontraktor infrastruktur pada 2019.

Tertuduh, Nor Hasyimah Tamziz, 50, bagaimanapoun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Meurut kerta pertuduhan, Nor Hasyimah sebagai penjawat awam MBDK, didakwa menerima wang berjumlah RM3,500 daripada seorang lelaki berusia 54 tahun yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya tanpa balasan diketahui ada kaitan dengan tugasan rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Kapar, Klang pada 9 Mei 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-keduanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, mengesyorkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan.

Tertuduh menerusi peguam bela, V Ayasamy, bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan atas alasan mempunyai empat anak, termasuk seorang yang sedang belajar di luar negara.

Dalam hujanhnya, peguam memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya juga masih bekerja di MBDK, justeru tiada bukti menunjukkan tertuduh akan melarikan diri daripada dakwaan berkenaan, selain jumlah rasuah didakwa hanya RM3,500 sahaja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 oleh seorang penjamin tempatan serta melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat pada setiap awal bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mac depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button