KDN tiada bukti kukuh Jho Low berada di China
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempunyai sebarang bukti kukuh bagi mengesahkan keberadaan dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low berada di China.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan bekerjasama erat dengan pihak agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai isu berkenaan.
“Setakat ini dakwaan mengenai lokasi dan juga penggunaan pasport individu yang disebut itu (Jho Low) belum ditemukan fakta sokongan ataupun mana-mana bukti yang sah dan sahih.
“Kalau jumpa kita beritahulah, kalau tidak kita kena (beritahu) tidaklah. Saya juga nak beritahu bahawa kerjasama erat kita dengan agensi luar negara sentiasa berjalan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, dakwaan dua wartawan penyiasatan antarabangsa, Bradley Hope dan Tom Wright hanyalah laporan sahaja dan tidak disokong oleh mana-mana bukti yang sahih.
“Kalau ada perkara (bukti sahih) baru saya lapor,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, Hope dan Wright mendedahkan Jho Low kini dipercayai menetap di kawasan eksklusif Green Hills, Shanghai, serta beroperasi dari sebuah pejabat di Pusat Kewangan Shanghai.
Pendedahan yang dibuat menerusi siaran langsung Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright minggu lepas itu turut menyatakan Jho Low menggunakan pasport Australia palsu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







