BERITA SEMASA

40 biasiswa setahun, Malaysia-Rusia perkukuh kerjasama pendidikan tinggi

VLADIVOSTOK – Rusia akan meneruskan tawaran 40 biasiswa kerajaan negara itu setiap tahun kepada pelajar Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi, sains dan pembangunan modal insan kedua-dua negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu antara hasil Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5 yang dipengerusikannya bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut mengalu-alukan cadangan penganjuran Forum Rektor Malaysia-Rusia pertama pada 2027, selain pengembangan Program Aeroangkasa Rusia MAI-UniKL, Russia-Malaysia Raw Materials Dialogue dan Malaysia-Russia Youth Leadership Summer Camp.

“Mesyuarat ini amat signifikan menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Rusia pada tahun 2027.

“Kedua-dua negara bersetuju untuk memuktamadkan Pelan Tindakan Bersama 2027 sebelum penghujung tahun 2026 bagi memastikan kerjasama yang lebih tersusun dan berorientasikan hasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, JC-ESTC Ke-5 memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan hubungan baik kedua-dua negara kepada kerjasama lebih konkrit, berlandaskan momentum hubungan di peringkat tertinggi yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam bidang perdagangan, pertanian dan pelaburan, katanya, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperluas akses pasaran, memperkukuh kerjasama perdagangan serta meneroka kerjasama bekalan baja termasuk urea bagi menyokong keterjaminan makanan Malaysia.

Kerjasama dalam sektor strategik turut diperkukuh meliputi kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, bandar pintar, keselamatan maklumat, telekomunikasi, tenaga boleh baharu, LNG dan LPG.

“Kedua-dua negara turut meneroka kerjasama dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kawal selia kedua-dua negara,” katanya.

Zambry berkata, kedua-dua pihak turut mencatat kemajuan dalam memperkukuh kerjasama kewangan Malaysia-Rusia susulan penglibatan Bank Negara Malaysia dan Bank of Russia.

Katanya, kerjasama itu termasuk meneroka peranan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa dan pintu masuk ke ASEAN, selain potensi kerjasama dalam kewangan Islam dan aset digital.

Kerjasama turut diperluas dalam sektor industri, kesihatan, pengangkutan, teknologi hijau, perubahan iklim, ekonomi kreatif dan angkasa.

Dalam pada itu, Zambry bersama Falkov turut menyaksikan pertukaran tiga perjanjian kerjasama antara institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia dan Rusia.

Ia membabitkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan National Research University “Moscow Power Engineering Institute”, UiTM dengan Institute of Experimental Medicine serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan State University of Land Use Planning.

Kedua-dua negara berharap setiap kesepakatan melalui JC-ESTC dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Rusia.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Persekutuan Rusia berasaskan prinsip saling menghormati dan manfaat bersama,” katanya.

Malaysia dijadual menjadi tuan rumah JC-ESTC Ke-6 pada 2027 bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Rusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button