BERITA SEMASA

Kumpulan D-8 perlu jadi suara orang yang tidak bersuara – Zambry

KAHERAH – Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) mencapai kata sepakat untuk menyokong Deklarasi Kaherah sebagai bukti komitmen untuk memperkasakan belia sebagai pemimpin masa hadapan dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Malaysia menyatakan sokongan kepada pembangunan belia terutamanya dalam sektor ekonomi dan keusahawanan.

“Kita berhadapan dengan belia zaman kecerdasan buatan (AI), berinovasi dan teknologi terkini, maka pendidikan yang seimbang mesti menyepadukan kecanggihan ini dengan nilai moral dan etika.

“Sifat ihsan dan berperikemanusiaan harus kekal sebagai teras sistem pendidikan kita kerana masyarakat yang kehilangan nilai-nilai ini adalah masyarakat yang hanyut. Ini juga yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara sempena Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan D-8 yang berlangsung di Kaherah, Mesir pada 18 hingga 19 Disember.

Sidang kemuncak bertemakan “Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy” telah melabuhkan tirainya dengan penyertaan ketua-ketua negara dan kerajaan terdiri daripada Mesir, Bangladesh, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Menyentuh mengenai perusahaan kecil dan sederhana (SME) katanya, industri itu adalah tulang belakang daya tahan ekonomi dan inovasi.

Katanya, dalam rangka kerja D-8, pengukuhan SME dan memupuk kerjasama rentas sempadan dalam industri baru seperti ekonomi halal, perniagaan tani, teknologi hijau dan penyelesaian digital sesama negara ahli D-8 boleh membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Sebagai sebuah blok di bawah negara-negara D-8, Malaysia mencadangkan negara-negara anggota untuk menawarkan biasiswa, latihan vokasional, dan program permulaan yang khusus untuk memperkasakan belia di Palestin yang terlibat dengan konflik yang masih tiada kesudahan kerana mereka juga mempunyai impian dan generasi yang perlu dibangunkan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai situasi semasa di Palestin dan Lubnan, katanya, jelas sekali, terdapat dwi-standard yang mengawal setiap tindak tanduk masyarakat antarabangsa.

“Seluruh dunia telah menyaksikan dan mengutuk Israel atas kekejamannya, tetapi tidak seorang pun, bukan satu entiti pun dapat menghalangnya.

“Semuanya kerana Israel disokong oleh kuasa Barat, kuasa yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, tetapi hanya apabila ia sejajar dengan kepentingan mereka, acuh tak acuh kepada rakyat Palestin kehilangan nyawa dalam proses itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Malaysia juga menyeru Kumpulan Negara D-8 mengambil tindakan segera, bergerak sebagai satu kumpulan.

“Sejarah akan menilai kita bukan dengan ucapan yang kita buat hari ini, tetapi dengan tindakan yang kita lakukan. Janganlah dikatakan kita terbiar sedangkan seluruh rakyat Palestin menderita.

“Janganlah dikatakan bahawa kita membenarkan kemunafikan untuk menentukan punca keadilan. D-8 mesti mengatasi kemunafikan ini. Kita mesti menjadi suara orang yang tidak bersuara. Kita mesti berdiri dengan satu suara, dan satu tindakan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button