Kertas cadangan Parallel Pathway dibentang kepada Kabinet pada 5 Jun ini
PUTRAJAYA – Kertas cadangan isu ‘Parallel Pathway’ secara komprehensif telah disediakan dan akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada Kabinet pada 5 Jun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan pada 2 April lalu, Akta Perubatan 1971 [Akta 50] akan dipinda bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan.
Katanya, ia termasuklah mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’.
“Sepertimana yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu ‘Parallel Pathway’ untuk dibincangkan di dalam Mesyuarat Kabinet, saya telah diminta untuk menjelaskan kepada Kabinet sementara ketiadaan Menteri Kesihatan yang kini berada di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 (WHA77), Geneva.
“Saya maklumkan bahawa isu pokok yang timbul buat masa ini berkaitan dengan kemelut Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran (Parallel Pathway) bidang pembedahan kardiotorasik adalah melibatkan isu pengiktirafan latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.
“Selain isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’ dalam Daftar Pakar di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Isu-isu ini telah dibawa dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan
(KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lalu bagi mencari penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan isu tersebut dan tuduhan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera adalah dua isu yang berbeza.
Tegasnya, terdapat kumpulan yang cuba mengambil kesempatan sehingga menuduh UiTM bersikap ‘apartheid’ sedangkan isu utama adalah tiada pengesahan dan pengiktirafan daripada MMC kepada kumpulan pelajar ini.
“Selain daripada UiTM yang sedang menjalankan Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik), universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM) sedang dalam proses mendapatkan Perakuan Akreditasi untuk kursus ini sebelum ditawarkan dalam masa terdekat.
“Dengan usaha dan komitmen yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Madani ini, adalah diharapkan natijah penyelesaian menyeluruh akan terhasil demi kepentingan negara dan rakyat,” ujarnya.
Sebelum ini tular dakwaan bahawa kertas cadangan itu akan dibentangkan ketika ketiadaan Dr Dzulkefly di dalam negara.
Bagaimanapun Dr Dzulkefly dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya berkata, beliau telah memberikan ‘heads-up’ kepada Perdana Menteri dan perbincangan awal di peringkat Kabinet boleh diteruskan hari ini.
“Memorandum jemaah menteri juga akan dibentang untuk kelulusan pada 5 Jun nanti.
“Insya-Allah, segala keputusan dan perbincangan akan saya maklumkan dari semasa ke semasa,” tulis Dr Zulkefly.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








