Malaysia ke arah Negara Bebas Rokok menjelang 2040
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) yakin sasaran Malaysia untuk mencapai status Negara Bebas Rokok menjelang 2040 mampu direalisasikan melalui kerjasama pelbagai pihak dan sokongan masyarakat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata demikian sempena Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan (National Tobacco Control Conference), di sini semalam.

“Selama bertahun-tahun, pasukan kami telah terlibat secara aktif, bekerjasama dan berganding bahu dengan pelbagai pihak melalui pendekatan seluruh negara dan seluruh masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian.
Majlis itu diadakan bersempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik, rakan antarabangsa dan pemimpin komuniti.
Pelbagai inisiatif telah digerakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke arah mencapai matlamat itu.
Ia termasuklah Resolusi Kesihatan Paru-Paru, Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok (MQuit Services), Program KOTAK (Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok) hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan jaringan kerjasama strategik bersama NGO, agensi profesional serta badan korporat.

Dalam majlis sama, KKM turut melancarkan buku bertajuk ‘Siri Bebas Rokok’ terbitan bersama Pusat Racun Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ia sebagai usaha advokasi berterusan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya merokok bermula dari peringkat akar umbi.
Turut dilancarkan ialah maskot rasmi ‘Pak Lung’ yang menjadi simbol kepada kesepaduan, iltizam dan perjuangan rakyat Malaysia dalam memastikan kesihatan paru-paru bebas daripada ancaman tembakau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








