BERITA SEMASA

Tujuh resolusi Konvensyen Pendidikan Melayu perlu diterjemah kepada tindakan – Zambry

KUALA LUMPUR – Tujuh resolusi utama yang dirumuskan menerusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 perlu diterjemahkan kepada dasar, pelaksanaan dan tindakan yang mampu memberikan impak nyata kepada pendidikan Melayu dan Bumiputera.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, resolusi berkenaan tidak seharusnya sekadar menjadi catatan hasil konvensyen, sebaliknya perlu menjadi asas kepada tindakan seterusnya dalam memperkukuh pendidikan anak bangsa.

“Hasil konvensyen ini, tujuh resolusi utama telah dirumuskan untuk menjadi asas kepada tindakan seterusnya. Kita tidak mahu resolusi ini sekadar tinggal sebagai catatan sebuah konvensyen. Ia perlu diterjemahkan kepada dasar, pelaksanaan dan tindakan yang memberikan impak nyata kepada anak bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, WTC Kuala Lumpur, semalam.

Tujuh resolusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 merangkumi pembangunan pangkalan data dan Indeks Mobiliti Pendidikan Nasional bagi mengenal pasti jurang pendidikan, pelaksanaan intervensi awal dan bersasar untuk pelajar B40 serta M40 yang rentan, selain pembangunan laluan mobiliti pendidikan dan sosial bersepadu menerusi pengukuhan sekolah, kompetensi guru, STEM dan TVET.

Resolusi turut memberi tumpuan kepada menjadikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai khazanah strategik melalui peluasan akses, pembangunan potensi dan penghasilan modal insan Bumiputera berkualiti.

Ia turut melibatkan pemanfaatan kapasiti UiTM bagi meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam bidang profesional dan industri strategik, selain menggembleng kekuatan lebih sejuta alumni UiTM sebagai jaringan kepakaran, keusahawanan, kerjaya dan pelaburan.

Selain itu, resolusi berkenaan merangkumi perancangan Agenda Perubahan Minda Bumiputera bagi menangani isu kemiskinan dan tekanan, serta mewujudkan kerangka perundangan baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Kerangka baharu itu bertujuan memperluas autonomi universiti, kebebasan akademik serta ruang mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan.

Menurut Zambry lagi, konvensyen berkenaan membabitkan tiga sesi perbincangan yang menampilkan panelis daripada pelbagai latar belakang dan bidang kepakaran.

Katanya, menerusi sesi berkenaan, pelbagai pandangan dan cabaran berkaitan pendidikan Melayu dan Bumiputera diteliti, selain langkah ke hadapan turut dibincangkan bagi memperkukuh agenda berkenaan.

“Menerusi tiga sesi perbincangan yang melibatkan barisan panelis daripada pelbagai latar belakang dan bidang kepakaran, kita telah mendengar pandangan, meneliti cabaran serta membincangkan langkah ke hadapan dalam memperkukuh pendidikan Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Konvensyen itu disempurnakan dengan ucapan penutupan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkan Zambry sentiasa memberikan dukungan dan komitmen tinggi terhadap agenda pendidikan negara.

Zambry berkata, perjuangan dalam bidang pendidikan adalah perjuangan membina masa depan, justeru pendidikan Melayu dan Bumiputera perlu terus diperkasa.

“Pendidikan Melayu dan Bumiputera mesti terus diperkasa agar anak bangsa bukan sahaja mampu bersaing, tetapi mampu menjadi peneraju, pencipta dan mencorak masa depan Malaysia,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan program ilmiah seumpama itu akan terus diadakan bagi menyuntik lebih banyak idea dan pandangan terbaik berkaitan pendidikan.

“InsyaAllah, program ilmiah seperti ini akan terus diadakan bagi menyuntik lebih banyak idea dan pandangan terbaik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button