POLITIK

Puteri UMNO seru pendekatan menyeluruh lindungi ibu tunggal muda, kesihatan wanita

KUALA LUMPUR – Puteri UMNO menyeru supaya perlindungan ekonomi kepada ibu tunggal muda tidak terhad kepada pemberian bantuan tunai semata-mata, sebaliknya digabungkan dengan pakej sokongan komprehensif meliputi pekerjaan, pusat penjagaan anak, bantuan guaman nafkah serta kemudahan perumahan.

Ketua sayap berkenaan, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pendekatan bersasar dan bersepadu itu penting bagi memastikan golongan berkenaan mampu membina semula kehidupan dan berdikari secara mampan.

Selain isu sosioekonomi, beliau turut menggesa kepimpinan parti mendesak kerajaan suapaya memberi perhatian lebih serius terhadap akses kesihatan wanita muda, terutamanya pemeriksaan kesihatan reproduktif dan saringan penyakit khusus wanita.

Jelasnya, kemudahan berkenaan wajar diperluas supaya lebih mudah dicapai dan mampu milik menerusi klinik-klinik kerajaan serta penganjuran program kesihatan komuniti secara berkala.

“Di luar sana ada jutaan wanita muda yang sedang bergelut dengan kehidupan. Keresahan mereka hari ini adalah perkara nyata, memikirkan pekerjaan, pendapatan dan harga rumah yang semakin sukar dicapai.

“Mereka mahu membina kerjaya tanpa mengabaikan keluarga, mahu berniaga tetapi berdepan kekangan modal, mahu hidup dalam dunia digital tetapi perlu dilindungi daripada penipuan dan gangguan, selain memikul tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Amal menegaskan bahawa perjuangan Puteri UMNO mesti berakar umbi daripada realiti kehidupan sebenar rakyat terbanyak dan bukan sekadar berkisar mengenai kepentingan survival politik kepartian semata-mata.

“Inilah politik yang perlu kita perjuangkan, politik yang hadir dalam kehidupan sebenar manusia. Politik yang bukan bermula dengan parti, sebaliknya bermula dengan kehidupan manusia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera Puteri UMNO untuk mengubah pendekatan dengan lebih banyak mendengar daripada sekadar meminta wanita muda mendengar suara parti.

Katanya, jentera sayap itu perlu berani turun padang ke ruang komuniti wanita muda bagi memahami keresahan dan aspirasi sebenar mereka.

“Fahami apa yang sedang mereka risaukan, fahami apa yang mereka impikan. Paling penting, buktikan bahawa politik masih boleh menjadi jalan untuk menyelesaikan masalah kehidupan mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button