Nahas helikopter: Segerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan – Dr Zaliha
PUTRAJAYA – Kerajaan digesa menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara susulan nahas helikopter yang mengorbankan lima petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kejadian itu mengingatkan mengenai cabaran dan risiko yang dihadapi warga kesihatan ketika melaksanakan tugas, khususnya mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman dan sukar diakses.
Menurutnya, isu kebajikan serta imbuhan petugas FDS turut kembali mendapat perhatian susulan tragedi berkenaan.
“Dalam konteks ini, saya mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan usaha ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara.
“Keperluan terhadap suatu mekanisme yang lebih khusus bagi mengurus tenaga kerja kesihatan telah pun dikenal pasti dalam proses reformasi yang digariskan menerusi Kertas Putih Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sektor kesihatan mempunyai keperluan dan cabaran tersendiri termasuk dalam aspek pengambilan, penempatan, skim perkhidmatan, pembangunan kerjaya, imbuhan serta kebajikan tenaga kerja.
Katanya, isu berkaitan elaun petugas FDS yang telah dikemukakan untuk pertimbangan sejak November 2025 antara contoh yang menunjukkan keperluan terhadap mekanisme lebih khusus dan responsif dalam menangani kebajikan warga kesihatan.
“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga sesuatu isu mendapat perhatian umum sebelum tindakan dapat digerakkan.
“Sebaliknya, perlu ada suatu struktur yang mampu meneliti, menyelaras dan menangani keperluan tenaga kerja kesihatan secara berterusan, tersusun dan lebih pantas,” katanya.
Dr Zaliha berkata, isu sumber manusia merupakan antara cabaran terbesar dalam memastikan sistem kesihatan negara terus berfungsi dengan baik serta mampu memenuhi keperluan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dapat dibawa ke peringkat seterusnya dengan lebih segera.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, beliau akan terus menyokong dan mengangkat langkah reformasi yang dapat memperkukuh sistem kesihatan negara, termasuk memastikan kebajikan serta kepentingan warga kesihatan diberikan perhatian sewajarnya.
“Warga kesihatan merupakan tunjang kepada sistem kesihatan negara.
Justeru, kita perlu memastikan sistem yang mengurus mereka juga mempunyai keupayaan untuk memahami cabaran yang mereka hadapi serta bertindak dengan lebih tangkas terhadap keperluan mereka.
“Saya berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan serius terhadap cadangan ini dan menetapkan hala tuju yang jelas ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan,” katanya.
Dr Zaliha turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter serta seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
Nahas pada Selasa itu mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Sham Bee, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Kesemua mereka berada dalam helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang, Ulu Baram ketika dalam perjalanan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








