Ekspo 2025: Malaysia promosi IPT bertaraf dunia di Jepun
PUTRAJAYA – Penyertaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Ekspo 2025 Osaka, di Jepun menjadi platform penting dalam menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di negara ini di samping memperlihatkan kejayaan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam bidang penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.
KPT dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata, penyertaan dalam ekspo itu juga bertujuan mempromosi keunikan dan kelebihan sistem pendidikan tinggi Malaysia di pentas antarabangsa, khususnya menerusi penglibatan dalam Minggu Pendidikan Tinggi (Higher Education Week) yang berlangsung di Pavilion Malaysia.
Majlis pelancaran Minggu Pendidikan Tinggi bertemakan ‘Study in Malaysia’ itu disempurnakan secara dalam talian oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, pagi tadi.

Ekspo yang menghimpunkan lebih 150 negara itu dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), manakala KPT mengetuai pengisian Minggu Pendidikan Tinggi yang memasuki minggu ke-15 penganjuran ekspo berkenaan.
Dr. Zambry berkata, penyertaan KPT di ekspo berprestij itu merupakan usaha berterusan mempromosi negara ini sebagai hab pendidikan tinggi serantau yang berdaya saing dan inklusif.
“Pelbagai aktiviti interaktif, sesi perkongsian ilmu, pameran, promosi dan pemeteraian kerjasama strategik turut diadakan dengan penglibatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta agensi-agensi di bawah KPT sepanjang minggu berkenaan,” katanya.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuk platform Edutourism Gateway, iaitu sebuah pendekatan digital yang menggabungkan elemen pendidikan dan pelancongan sebagai daya tarikan baharu kepada pelajar antarabangsa.
“Malaysia menawarkan pelbagai kelebihan sebagai destinasi pengajian, antaranya program diiktiraf antarabangsa, kos pendidikan dan sara hidup yang berpatutan, suasana masyarakat majmuk yang harmoni serta tahap keselamatan yang tinggi,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








