KPT salur RM2,000 kepada setiap persatuan pelajar OKU, Orang Asli di IPTA seluruh negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan peruntukan sebanyak RM2,000 kepada setiap Persatuan Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan Persatuan Pelajar Orang Asli di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu merupakan sokongan KPT terhadap usaha memastikan pendidikan tinggi yang inklusif dan lestari.
Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan prinsip “No One Left Behind” agar semua rakyat berhak mendapat akses pendidikan tanpa mengira status dan keupayaan.
“Pada masa yang sama, saya meminta semua universiti memastikan fasiliti untuk pelajar OKU disediakan dan diselaraskan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan selepas
menghadiri program In Person with Doc Zam
di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Program itu dihadiri hampir 4,000 pelajar baharu sesi 2025/2026 bersama 150 mahasiswa inklusif melibatkan pelbagai kategori OKU serta Orang Asli dari 13 universiti awam.
Mengimbau pengalamannya, Zambry berkata, kehadirannya ke UIAM menggamit nostalgia lebih tiga dekad lalu sebagai ‘abang’ batch pertama universiti itu.
Beliau turut berkongsi kisah perjalanan hidup sebagai anak nelayan yang akhirnya diberikan amanah untuk berada di kedudukannya hari ini.
Menurut beliau, sesi kali ini lebih segar dengan banyak soalan, pandangan serta maklum balas daripada pelbagai kumpulan pelajar termasuk mahasiswa yang mencerminkan keberanian, keterampilan dan kepimpinan mahasiswa sejak awal pengajian mereka.
“Pesan saya kepada mahasiswa, belajarlah bersungguh-sungguh, gunakan ruang universiti untuk menggali pengalaman dan ilmu. Tidak semua orang berpeluang berada di sini. Tamat pengajian nanti, kembalilah menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Turut hadir Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar serta Profesor Ruzita Mohd. Amin bersama warga kerja universiti itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








