KPT anjur GHEF2023, bahas isu ekosistem pendidikan tinggi dan pemulihan pasca pandemik Covid-19
SEPANG – Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan negatif terhadap pelbagai sektor ekonomi di kebanyakkan negara di dunia termasuk sektor pendidikan tinggi di peringkat global.
Penutupan atau pengoperasian bukan pada skala penuh institusi pendidikan bagi mengekang penularan virus ini telah menyebabkan berlakunya penguncupan dan menjejaskan produktiviti harian pelajar.
Sejajar dengan pemasalahan tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 (GHEF2023) dengan mengangkat tema ‘Pemulihan Ekuiti – Pendidikan Tinggi Dalam Era Pasca Pandemik’ dan berlangsung dari 15 hingga 17 November 2023 di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tema tersebut dipilih berikutan kesan mendalam pandemik Covid-19 terhadap ekosistem pendidikan tinggi di peringkat nasional, mahupun global.
Kata beliau, era pasca Covid-19 juga dikhuatiri telah melebarkan jurang akses, sumber dan peluang pembelajaran, terutama bagi pelajar daripada kumpulan terpinggir seperti orang kelainan upaya (OKU), orang asli dan latar belakang keluarga berpendapatan rendah.
“Tema ini dipilih kerana pandemik global telah memberi kesan yang ketara kepada semua segmen Masyarakat dan sektor pendidikan tinggi tidak terlepas,” katanya dalam ucapan beliau sebelum merasmikan GHEF2023 di sini, semalam.
Menurut Mohamed Khaled, walaupun bahawa dunia sedang secara beransur-ansur pulih daripada krisis, adalah penting untuk menangani cabaran dan peluang yang muncul yang dihadapi oleh pendidikan tinggi dalam era pasca pandemik.
Kata beliau, cabaran tersebut bukan sahaja merangkumi pengenalpastian masalah bagi meningkatkan pertumbuhan yang positif, malah pelbagai idea baharu perlu diterokai menerusi pendekatan yang lebih kritis.
“Seperti yang diperhatikan dalam banyak kajian dan laporan, pandemik Covid-19 telah mengakibatkan penutupan yang tidak dapat dielakkan ke atas banyak institusi pendidikan tinggi di banyak negara di seluruh dunia, mengganggu pendidikan berjuta-juta pelajar pada 2020 dan 2021.
“Walaupun sistem pendidikan tinggi mencuba tahap terbaik mereka untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam pelbagai peringkat, wabak ini sememangnya telah mendedahkan kelemahan sistem semasa kepada faktor luaran.
“Ia menekankan kepentingan mewujudkan sistem pendidikan yang dapat menahan cabaran yang tidak dijangka dan memastikan hasil yang saksama untuk pelajar semasa masa yang mencabar,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, para delegasi GHEF2023 adalah terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, sarjana muda (pelajar pasca siswazah), pegawai kerajaan, pembuat dasar, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri dari institusi tempatan dan antarabangsa.

GHEF2023 pada kali ini memfokuskan kepada empat sub-tema penting iaitu Jurang Digital dan Inklusiviti, Bakat dan Kebolehpasaran, Kedudukan Kewangan dan Sosioekonomi serta Pengajaran dan Pembelajaran – Dasar dan Amalan.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, adalah tidak dapat dipertikaikan bahawa ekuiti dalam pendidikan tinggi telah bertambah buruk semasa zaman pandemik.
Kata beliau, peralihan kepada pembelajaran jarak jauh semasa pandemik memberikan cabaran yang ketara, terutamanya bagi pelajar daripada latar belakang yang kurang bernasib baik.
Jelasnya, golongan pelajar ini, menghadapi pembelajaran menjadi lebih kompleks kerana jurang digital dan Isu ini mesti dilihat dari sudut keupayaan setiap pelajar untuk mencapai potensi mereka walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza.
Oleh sebab itu, kata beliau, sokongan kepada pelajar ini perlu diberikan sebagai tindak balas kepada mod pembelajaran baharu menerusi persekitaran pendidikan tinggi yang lebih inklusif.
“Walaupun banyak institusi pendidikan tinggi di peringkat global berjaya menghadapi cabaran semasa pandemik, mereka kini perlu menyediakan diri mereka untuk landskap pendidikan tinggi yang sangat tidak menentu dan tidak dapat diramalkan.
“Penyediaan itu terutamanya perlu merangkumi, antara lain, mengutamakan ekuiti sebagai agenda utama.
“Ini kerana, dalam masa krisis, selalunya ahli masyarakat yang paling terdedah dan terpinggir yang paling menderita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khaled menegaskan, KPT percaya bahawa melalui perbincangan pelbagai perspektif di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, pihaknya boleh membangunkan pendekatan baharu untuk pengajaran dan pembelajaran yang akan menyumbang kepada sistem pendidikan yang lebih berkesan dan saksama.
“Dengan memanfaatkan pelbagai perspektif, idea, pengetahuan dan pengalaman, kita boleh membangunkan penyelesaian yang inovatif kepada cabaran semasa.
“Dalam hal ini, Malaysia dengan rendah hati ingin menimba pandangan berharga daripada pengalaman dan amalan terbaik negara lain sambil mempamerkan pencapaian dan inisiatif sendiri dalam pembangunan pendidikan tinggi,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








