BERITA SEMASA

Pembudayaan ‘tunjuk dan cerita’ berupaya kukuhkan kedudukan Malaysia dalam pendidikan tinggi global

SEPANG – Institusi pendidikan tinggi (IPT) digesa membudayakan pendekatan ‘tunjuk dan cerita’ (show and tell) dengan mempromosikan pencapaian serta kehebatan masing-masing melalui media sosial bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam peta pendidikan tinggi global.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, langkah itu penting kerana platform digital kini menjadi medium utama dalam menyalurkan maklumat ke seluruh dunia dengan pantas dan berkesan.

Katanya, usaha menonjolkan kekuatan IPT di media sosial bukan sahaja dapat memperkenalkan hasil penyelidikan dan penulisan pensyarah tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, malah berupaya meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pendidikan pilihan dunia.

“Malaysia mempunyai segala kekuatan untuk muncul sebagai pusat pendidikan antarabangsa. Kita mempunyai fasiliti moden, tenaga pengajar yang cemerlang serta rekod penerbitan akademik dalam jurnal berprestij global.

“Semua pencapaian ini perlu dikongsi dengan lebih meluas agar masyarakat dunia menyedari kehebatan IPT negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat APEL.M kepada warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, budaya ‘tunjuk dan cerita’ juga seiring dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyasarkan untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa ke Malaysia menjelang 2030.

Katanya, usaha itu juga selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang mahu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global melalui pendekatan lebih inklusif.

Beliau berkata, setiap IPT boleh memanfaatkan kekuatan dalaman termasuk menggunakan pelajar sendiri sebagai duta untuk memperkenalkan universiti mereka di peringkat antarabangsa.

Katanya, dengan jumlah pelajar yang mencecah puluhan ribu di sesebuah universiti, potensi promosi melalui media sosial sangat besar jika digembleng secara sistematik.

“Jika setiap pelajar dan pensyarah memainkan peranan dalam mempromosikan universiti masing-masing, nama IPT Malaysia boleh menjulang dalam masa singkat melalui platform digital yang kini menjadi medium global,” katanya.

“Usaha ini perlu dijadikan budaya berterusan agar kekuatan dan pencapaian luar biasa universiti kita tidak lagi hanya diketahui dalam kalangan warga kampus atau lingkungan akademik sahaja tetapi turut dikenali masyarakat dunia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button