BERITA SEMASA

Mahasiswa jadi rakan strategik RPTM 2026–2035 – Zambry

SHAH ALAM – Mahasiswa kini bukan sekadar pemerhati, tetapi digerakkan sebagai rakan strategik dalam mencorakkan masa depan pendidikan tinggi negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dr Zambry berkata, mahasiswa yang mewakili sepuluh kumpulan lonjakan utama dalam sesi penggembelengan idea dan cadangan berhubung Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 telah menunjukkan kemampuan berhujah dan berfikir secara kritikal, sambil mengemukakan cadangan matang dan berwawasan.

“RPTM ialah sebuah dokumen hidup yang bersifat dinamik, boleh disesuaikan dan diperhalusi mengikut keperluan serta cabaran semasa. Segala idea dan pandangan mahasiswa akan diteliti untuk penambahbaikan pelan ini,” katanya dalam kenyataan.

Baca juga : USIM dan RPTM 2026–2035: Paduan ilmu, nilai untuk masa depan negara

Sesi penggembelengan idea itu dihadiri Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) seluruh negara dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti, di Universiti Teknologi MARA Shah Alam, semalam.

Zambry menekankan, perbezaan pendapat adalah normal dalam masyarakat intelektual, namun cadangan dan kritikan perlu disampaikan melalui saluran betul serta berlandaskan etika dan adab.

“Kita boleh agree to disagree, menyokong atau tidak bersetuju, tetapi jangan sampai membawa kepada perpecahan atau pergolakan yang tidak sihat,” ujarnya.

Dalam sesi itu juga, Zambry mengumumkan geran pengurusan dan aktiviti berjumlah RM100,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sebagai tanda komitmen Kementerian memperkasa kepimpinan mahasiswa di peringkat nasional.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan tahniah kepada semua pimpinan mahasiswa dan jawatankuasa penganjur atas keterbukaan menganjurkan program julung kali ini dan menegaskan bahawa KPT akan terus membuka ruang dialog sebegini pada masa akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button