30 peratus mahasiswa sanggup terima rasuah, KPT perkukuh kerjasama dengan SPRM
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyuarakan kebimbangan berhubung dapatan kajian lalu yang menunjukkan hampir 30 peratus mahasiswa sanggup menerima rasuah sekiranya diberi peluang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, situasi itu amat membimbangkan dan menuntut usaha lebih serius untuk memupuk nilai murni dalam kalangan mahasiswa.
“Justeru, KPT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan SPRM bagi memastikan agenda pemerkasaan integriti dan tadbir urus dapat digerakkan secara bersepadu di semua peringkat pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KPT September 2025 di Dewan Za’ba, di sini, semalam.
Majlis itu turut menyaksikan Penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) Siri 43 Tahun 2025 anjuran bersama SPRM, yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Pada majlis sama, Zambry turut melancarkan logo kempen “Be A Buddy, Zero Bully” sebagai simbolik keseriusan KPT membanteras budaya buli di kampus.
Beliau sebelum ini turut memperincikan enam langkah strategik termasuk penerapan budaya toleransi sifar terhadap buli dan penambahbaikan mekanisme pelaporan kes.
Dalam pada itu, KPT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan SPRM bagi menggerakkan agenda pemerkasaan integriti dan tadbir urus secara bersepadu di semua IPT.
Sementara itu, Azam Baki dalam ucapannya mengingatkan bahawa perjuangan membanteras rasuah memerlukan iltizam politik yang jelas serta kerjasama kolektif daripada seluruh lapisan masyarakat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada wakil peserta CEIO Siri 43 serta hadiah kepada para pemenang pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat KPT.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Ketua Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Mohd Hafaz Nazar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








