Anugerah Tokoh Siswa Negara lahirkan pemimpin muda masa depan negara
PUTRAJAYA – Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diyakini mampu mencungkil potensi besar generasi muda untuk diketengahkan sebagai pemimpin masa depan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja merangsang bakat mahasiswa, malah mengiktiraf kepimpinan mereka di peringkat kampus.
“Dengan adanya program seperti ini, kita memberi pengiktirafan kepada mereka dan saya yakin universiti, politeknik serta kolej komuniti akan terus menganjurkan program kepimpinan di kampus masing-masing.
“Di situlah daya kepimpinan dapat dibina sekali gus menyerlahkan potensi mahasiswa dan mahasiswi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis ATSN di sini, malam tadi.
ATSN yang memasuki penganjuran kali ke-9 tahun ini bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan mahasiswa dan badan pelajar IPT, memupuk semangat nasionalisme, meningkatkan kebolehsaingan serta melahirkan pewaris kepimpinan negara.
Sebanyak 11 kategori individu dipertandingkan meliputi kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.

Pelajar UPSI, Ng Zhen Fan Shankar dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2025, sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi eksklusif serta sijil pengiktirafan rasmi KPT.
Dalam ucapannya, Zhen merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi atas sokongan dan tajaan biasiswa KPT yang membolehkan beliau meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Saya percaya, saya berdiri di sini mewakili ramai mahasiswa lain sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Negara. Terima kasih atas sokongan selama ini,” katanya.
Mengulas lanjut Zambry berkata, penilaian terhadap penerima anugerah dilakukan oleh jawatankuasa khas berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
“Semua IPTA dan IPTS termasuk politeknik turut serta kerana kita tidak mahu ada pihak yang tertinggal dalam program ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai cadangan penambahan jumlah hadiah pada masa depan, Zambry berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak panitia untuk diputuskan kelak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment