BERITA SEMASA

2026 tahun pelaksanaan, KPT perkukuh agenda pendidikan tinggi – Zambry

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan tahun 2026 sebagai tahun pelaksanaan bagi memastikan segala perancangan dan dasar yang telah digariskan diterjemahkan kepada tindakan jelas serta berimpak tinggi di lapangan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penegasan itu dibuat dalam sesi libat urus dan sembang santai bersama Naib-Naib Canselor seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang diadakan semalam.

Menurut beliau, sesi berkenaan merupakan satu tradisi yang diteruskan sejak tiga tahun lalu bagi membuka ruang perbincangan terbuka, perkongsian idea serta penilaian semula perancangan yang telah dirangka kementerian.

“Setiap awal tahun, platform ini dimanfaatkan untuk menilai hasil dan impak sebenar pelaksanaan dasar pendidikan tinggi di peringkat institusi serta di lapangan,” katanya dalami satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Zambry menjelaskan, antara fokus utama yang diberi penekanan ialah pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu.

Menurutnya, kadar atau ‘pace’ kerja seluruh ekosistem pendidikan tinggi juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara berada pada tahap terbaik serta mampu bersaing di peringkat global.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan kerjasama semua pemegang taruh termasuk mahasiswa, pensyarah, kakitangan bukan akademik, industri, ibu bapa, alumni serta masyarakat secara keseluruhan.

“Kita mahu semua pihak bergerak seiring sebagai satu pasukan dalam memastikan pendidikan tinggi kekal relevan, berdaya saing dan memberi manfaat besar kepada negara,” katanya lagi.

Zambry turut berkata, sesi libat urus serupa akan diteruskan dengan warga politeknik, kolej komuniti serta institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dalam usaha memastikan pendekatan menyeluruh dan inklusif dapat dilaksanakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button