BERITA SEMASA

Sarawak ada keupayaan, bebas laksana pendidikan percuma

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan tidak menghalang inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak untuk melaksanakan pendidikan percuma kepada rakyat negeri itu, selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata usaha itu adalah hak dan inisiatif kerajaan negeri yang dilihat mempunyai keupayaan kewangan tersendiri.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, pelaksanaan pendidikan percuma oleh Kerajaan Negeri Sarawak adalah satu inisiatif yang lahir daripada kemampuan mereka sendiri. Maka, tidak timbul isu halangan daripada pihak Persekutuan.

“Kita di peringkat kerajaan Persekutuan sentiasa mengamalkan pendekatan kerjasama dengan semua negeri dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri yang mempunyai keupayaan kewangan berhak merancang dan melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat mereka, termasuk dalam bidang pendidikan.

“Saya fikir tidak perlu ada desakan atau persoalan lain terhadap keputusan Sarawak ini. Mereka ada dana, ada kemampuan dan mahu membantu anak-anak negeri mereka,” katanya.

Baca juga : Sarawak laksana pendidikan tinggi percuma mulai 2026

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Kepimpinan Muda Kebangsaan Karisma: Pemikir Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

Program tersebut yang mengumpulkan lebih 70 peserta merupakan platform perkongsian dan jaringan strategik antara Menteri Pendidikan Tinggi dengan pensyarah muda universiti awam dan mahasiswa menerusi pelbagai pengisian kepimpinan dan asas kenegaraan.

Terdahulu, Kabinet Sarawak meluluskan kertas cadangan bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kelulusan itu dicapai pada mesyuarat Kabinet negeri pada 20 Mac lalu.
Pelaksanaan FTES Sarawak ini akan bermula pada 2026 dan terbuka kepada rakyat Sarawak.

Institusi yang terlibat adalah institusi pengajian tinggi milik Sarawak, iaitu Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University of Malaysia, University Technology of Sarawak dan i-CATS University College.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button